SETIAP ibu bapa pastinya mahukan zuriat yang sempurna dan pintar. Namun, semua itu perlu dibentuk sejak di awal kandungan. Janin membesar mengikut acuan ibu dan bapa. Jika baik perlakuannya dan menjaga pemakanan sihat, maka akan lahirlah anak yang sihat serta cerdik.
Ini kerana, bayi di dalam kandungan mampu melihat, mendengar dan merasa.Â
Jika emosi ibu tidak stabil, pemakanan tidak dijaga dan bapa pula tidak memberi kasih sayang serta perhatian, maka ia akan memberi kesan buruk kepada perkembangan tumbesaran bayi.
Sehubungan itu, K-Wanita ingin kongsikan lima tip yang boleh dilakukan oleh ibu bapa supaya dapat menimang cahaya mata pintar dan membesar dengan baik.
1. Berikan nama baik
PEMILIHAN nama dengan maksud yang baik sangat penting untuk bayi. Ini kerana, mereka akan membawa nama itu sehingga ke akhir hayat. Panggilan nama itu juga akan menjadi asbab yang membawa kebaikan kepada anak-anak.
Menerusi kecanggihan teknologi terkini, ibu bapa boleh mengetahui jantina bayi seawal usia kandungan enam bulan.Â
Maka, anda sudah boleh memanggil bayi di dalam kandungan dengan nama-nama baik yang dipilih.Â
Bayi akan menendang-nendang perut ibu ketika namanya dipanggil, pastinya ia akan memberi keterujaan kepada anda, sekali gus mencipta momen terindah.Â

2. Berbicara dan membaca buku cerita
WALAUPUN bayi berada di dalam kandungan, namun mereka sudah boleh mengenali suara ibu dan bapa dengan memberi reaksi menendang-nendang perut. Oleh itu, ibu bapa perlu selalu berborak dengan bayi anda. Sampaikan nasihat-nasihat yang baik dan bacakan buku cerita kepada mereka.
Perbualan bersama bayi dan juga aktiviti membaca dapat membantu otak mereka cepat berkembang dan mudah memahami setiap perkara dituturkan apabila mereka lahir ke dunia kelak.Â
Sehubungan itu, ibu dan bapa kenalah rajin berborak serta bercerita dengan bayi sejak di dalam kandungan.
3. Membaca ayat suci al-Quran
AKTIVITI kerohanian sejak di dalam kandungan juga sangat penting seperti membaca dan memperdengarkan ayat-ayat al-Quran kepada janin di dalam kandungan. Ayat-ayat suci ini mempunyai hikmah yang tersendiri dalam pembentukan diri dan minda bayi di dalam kandungan. Pendedahan ilmu agama sejak di awal usia kandungan juga penting agar anda melahirkan zuriat yang soleh dan solehah. Anak-anak juga akan membesar dengan seimbang antara dunia dan akhirat.
4. Ambil makanan berkhasiat
PEMAKANAN juga menjadi faktor terpenting bagi pembentukan fizikal dan mental janin dalam kandungan agar membesar dengan baik. Makanan bersumberkan kekacangan seperti badam mengandungi nutrisi yang terbaik untuk perkembangan otak janin.
Selain itu, ibu boleh mengambil buah kurma, ikan dan salad. Isi ikan dikatakan sangat baik untuk perkembangan otak bayi dan ia menjadi amalan wanita-wanita Yahudi ketika hamil.Â
Bagi makanan tambahan pula, para ibu boleh mengamalkan pil minyak ikan yang mempunyai banyak khasiat untuk dinikmati.
5. Ibu perlu sentiasa bersenam
IBU mengandung digalakkan untuk tetap menjalani gaya hidup aktif seperti melakukan senaman yang bersesuaian dengan kandungan. Ini kerana, aktiviti sebegini bukan sahaja baik untuk perkembangan otak bayi, malah dapat membantu memudahkan ketika bersalin.
Senaman juga dapat meningkatkan aliran darah ke seluruh tubuh termasuklah rahim yang seterusnya merangsang perkembangan bayi secara keseluruhan. Ketika bersenam, tubuh melepaskan hormon endorfin yang membantu memberi rasa gembira kepada ibu.
















