fbpx
LILI percaya suaminya mengalami masalah mental kerana miliki dua personaliti berbeza, sebaliknya suaminya percaya itu kerja 'makhluk ghaib' dan hanya mahu berubat cara tradisional. Tidak tahan dengan keadaan suaminya itu, Lili meminta cerai.- Gambar hiasan

K2

Suami ‘double’ personaliti, dakwa bertukar baran bila diganggu ‘makhluk ghaib’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPERTI wanita yang lain, Lili (bukan nama sebenar) sering berkongsi foto dan video momen-momen bahagia bersama keluarganya di media sosial.

Bagi rakan-rakan media sosialnya yang melihat momen-momen itu pasti merasakan rumah tangga Lili baik-baik sahaja.

Namun, di sebalik kebahagiaan yang ditunjuk olehnya itu, ada penderitaan yang bersarang di jiwa Lili.

“Sebenarnya hubungan saya bersama suami saya tidak seperti apa yang saya paparkan di media sosial.

“Di media sosial, saya sering berkongsi gambar saya bersama suami dan anak-anak melakukan aktiviti bersama.

“Namun di sebalik itu, saya sebenarnya sering menjadi mangsa amarah suami apabila emosinya tidak stabil,” katanya yang kini berusia hujung 20-an.

Lili menjelaskan, suaminya itu mempunyai dua perwatakan yang berbeza.

Ada ketikanya dia menjadi suami dan bapa yang baik serta melayani dia dan anak-anak dengan penuh kasih sayang.

Tetapi ada waktunya dia boleh berubah dan menjadi seorang yang pemarah dan baran terutamanya apabila emosinya tidak stabil.

Cerita Lili, dia dan suaminya mengenali antara satu sama lain ketika sama-sama melanjutkan pengajian di sebuah universiti awam.

Mereka berdua menjalinkan hubungan percintaan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin setelah tamat pengajian.

“Ketika bercinta, suami saya baik sahaja dan langsung tidak pernah bersikap kasar dengan saya.

“Tetapi semasa bercinta, suami saya ada menyatakan ada ketika emosinya tidak stabil dan dia memaklumkan bahawa dirinya ada menerima gangguan makhluk halus yang menyebabkan dia tiba-tiba boleh berubah menjadi seorang yang baran kadang-kadang.

“Malah, keluarganya ada membawanya untuk berubat secara tradisional dan dia merasakan dirinya semakin pulih daripada gangguan tersebut,” ujarnya.

Namun setelah mereka berkahwin, Lili mula menyedari bahawa suaminya itu tidak pulih sepenuhnya daripada masalah tersebut.

“Dua bulan selepas berkahwin saya dapat melihat masalah yang suami saya alami itu.

“Secara tiba-tiba emosi dia berubah dan dia marah saya tanpa sebab sehingga sanggup menampar saya.

“Tetapi apabila emosinya stabil dia menangis dan meminta maaf kepada saya dan menyatakan bahawa itu bukan dirinya,” jelas Lili.

Lili memaafkan dan dia cuba untuk memahami masalah yang dihadapi oleh suami itu.

Namun begitu, setelah hampir empat tahun berkahwin suaminya masih mempunyai masalah yang sama.

Lili cuba terus bertahan kerana dia amat menyayangi suaminya itu.

“Apabila emosi suami saya tidak baik dia akan menjadi seorang yang baran sehingga saggup naik tangan dan membaling barang-barang yang ada di dalam rumah, selain itu dia juga ada ketikanya akan bercakap berseorangan.

“Tetapi jika emosinya baik, dia pandai mengambil hati saya dan ada ketikanya dia amat romantik dan menghadiahkan saya bunga.

“Dia sering membawa saya dan anak-anak keluar bersama. Ada masanya kami akan pergi bercuti dan keluar berjalan di pusat beli-belah bersama-sama pada hujung minggu.

“Saya sering berkongsi momen-momen indah itu di media sosial untuk menunjukkan bahawa saya bahagia,” ujarnya.

Sebaliknya, ketika emosi suaminya terganggu, Lili sering menjadi mangsa dan ada ketikanya dia membawa anak-anaknya untuk keluar dari rumah untuk mencari ketenangan.

Malah, dia juga ada meminta suaminya untuk pergi berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Namun, suaminya tidak mahu berbuat demikian dan masih percaya dirinya sering diganggu makhluk ghaib sehingga emosinya terganggu.

“Keluarga mentua saya pernah marah kepada saya apabila saya meminta mereka menasihati suami saya untuk mendapatkan rawatan dengan doktor.

“Mereka sekeluarga lebih percaya dengan perubatan tradisional berbanding berjumpa dengan doktor,” katanya.

Akhirnya, Lili tawar hati dengan suaminya itu dan berasa ingin berpisah dan membawa haluan masing-masing.

Lili mengambil keputusan untuk keluar dari rumah dan membawa anak-anaknya tinggal berasingan dengan suaminya.

“Saya memberi kata putus kepadanya untuk pergi berjumpa dengan doktor dan mendapatkan rawatan kerana saya merasakan dia seperti mempunyai masalah mental atau kami berdua berpisah jika dia tidak berbuat demikian.

“Suami saya berkata, dia akan pergi mendapatkan rawatan, tetapi setahun saya bagi peluang kepadanya dan dia langsung tidak pergi mendapatkan rawatan yang diharapkan,” ujarnya.

Lili kemudian memilih untuk berpisah dan dia memohon untuk dirinya dilepaskan secara baik.

Akhirnya, dia dan suaminya sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN