PERAIRAN marin di perairan Pahang menyimpan pelbagai biodiversiti alam, di mana sebahagiannya masih belum diterokai dan tersimpan rapi.
Landskap lautan itu turut menjadi ‘rumah’ kepada pelbagai habitat dan model kajian sains bagi membantu pengkaji memahami kitaran ekologi marin.
Menerusi kepakaran teknologi dan sains, organisasi bukan berasaskan keuntungan global, OceanX telah menjalankan kajian perairan di luar Pantai Timur Malaysia yang membawa kepada beberapa penemuan penting.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, OceanX, Mark Dalio, misi selama 16 hari yang melibatkan berpuluh-puluh ahli sains Malaysia itu telah dijalankan dengan menggunakan sebuah kapal penerokaan dan penyelidikan iaitu OceanXplorer.
“Eksplorasi lautan ini menilai ekologi marin dan dinamik ekosistem di perairan Pahang terutamanya di sekitar Pulau Tioman dan Laut China Selatan.
“Misi OceanX Malaysia 2024 bermula di Pahang dengan menggunakan kapal OceanXplorer. Ia merupakan salah sebuah kapal paling canggih di dunia yang direka khusus untuk penerokaan, penyelidikan saintifik dan pengeluaran media.
“Kapal ini berjaya membuat perjalanan mengelilingi Pulau Tioman dan Laut China Selatan,” katanya.
Tambah Dalio, pihaknya meneroka lebih 350 kilometer (km) persegi kawasan lautan, melibatkan kajian oseanografi yang meluas di perairan Pahang.
Inisiatif perintis itu memainkan peranan penting dalam memantau perubahan jangka panjang pada terumbu karang dan ekosistem di sekitarnya.
Misi penting itu dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang dan rakan penyelidikan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan New York University Abu Dhabi (NYUAD).
Penyelidikan itu turut mendapat sokongan daripada Kerajaan Malaysia dan Malaysia Ocean Research Alliance (MORA).
Berkongsi tentang perjalanan misi, Pengarah Program Sains, OceanX, Mattie Rodrigue berkata, penyelidikan itu melibatkan ramai ahli sains Malaysia dan dilaksanakan dalam tiga fasa berbeza.
“Dalam Fasa Satu, kumpulan tersebut telah meneroka lebih daripada 350 kilometer (km) persegi kawasan lautan.
“Ia diikuti dengan tinjauan mega fauna yang meliputi lebih dari 1,000 batu (1,620km) untuk pemerhatian dan menyenaraikan kumpulan ikan lumba-lumba tempatan dan haiwan laut besar lain.
“Dalam Fasa Dua, para ahli sains Malaysia menggunakan sonar berbilang pancaran (multibeam sonar) untuk menghasilkan peta beresolusi tinggi bagi terumbu berhampiran pantai.
“Kami turut menjalankan beberapa tinjauan menggunakan kenderaan yang dikendalikan dari jauh (remotely-operated vehicle atau ROV) dan penyelaman visual SCUBA untuk menilai kepelbagaian habitat di kawasan terumbu,” ujarnya.

Katanya lagi, terumbu karang berhampiran pantai itu kaya dengan biodiversiti marin dan berfungsi sebagai kawasan pembiakan penting bagi pelbagai spesies marin.
Dalam Fasa Tiga pula, penyelidik menjelajah ke barisan hadapan terumbu karang dengan menggunakan teknik tinjauan visual SCUBA untuk menilai keadaan kesihatan terumbu di Taman Marin
Pulau Tioman selepas kerja pemutihan terumbu karang dilakukan.
Para penyelidik menggunakan program ReefCloud AI yang melatih mereka untuk memanfaatkan alat analisis canggih dalam usaha membantu mempertingkatkan kerja penyelidikan serta pemuliharaan terumbu karang.
Program itu juga mengautomasikan analisis sejumlah besar imej terumbu, sekali gus mempercepatkan dan menambah ketepatan pemantauan kesihatan serta biodiversiti karang.
Bercakap tentang ReefCloud AI, Rodrigue menjelaskan, program berkenaan membolehkan penyelidik memantau perubahan dalam liputan terumbu, kepelbagaian spesies dan petunjuk kemerosotan secara masa nyata.
“Alat ini menyediakan data penting yang menyokong tindakan pemuliharaan lebih cepat dan strategi pengurusan mudah suai terutamanya sebagai tindak balas kepada perubahan iklim serta aktiviti manusia.
“Dalam fasa ini, kenderaan dikendalikan dari jauh iaitu ROV digunakan untuk menyelidik habitat mesofotik yang terletak pada kedalaman lebih 30 meter di sekitar Pulau Tioman,” katanya.
Kongsinya lagi, buat pertama kali, penyelidik Malaysia berjaya melakukan penilaian menyeluruh tentang biodiversiti mesofotik di perairan Pahang dengan dibantu teknologi canggih kapal OceanXplorer.
Habitat itu memainkan peranan penting dalam menyokong spesies ikan yang mempunyai nilai ekonomi dan ekologi signifikan bagi kawasan tersebut.
Sebagai sebahagian daripada misi OceanX, sebanyak 16 stesen telah dibangunkan secara rasmi untuk program pemantauan dan penyelidikan lautan pada masa hadapan.
Stesen itu juga boleh digunakan untuk kajian pengasidan lautan dan isoscape (peta isotop) untuk Malaysia.
“OceanXplorer adalah kapal paling canggih yang pernah dibina untuk menjalankan misi penerokaan, penyelidikan dan media.
“Dengan bantuan teknologi di atas kapal ini, kami telah mengumpulkan data yang dapat membantu memahami keadaan hidrodinamik di kawasan ini sebelum tibanya musim monsun.
“Kami menggunakan maklumat ini untuk mengesahkan model lautan dan pemantauan sedia ada yang telah dibangunkan oleh UMT,” tuturnya.
Dalam pada itu, pakar sains daripada UMT, Prof. Madya Dr. Maizah Mohd. Abdullah memaklumkan, misi OceanX telah membuka laluan kepada pengetahuan menerusi kaedah inovatif dan kajian yang dilaksanakan.
“Kerjasama UMT dengan OceanX bukan sahaja memberi pencerahan, malah membuka peluang kepada ahli sains merintis beberapa pencapaian penyelidikan.
“Kami sedang mengumpulkan data melalui kaedah inovatif yang memberikan kami pengetahuan baharu.
“Malah selepas misi ini, agenda kami yang seterusnya adalah untuk menganalisis data dan berkongsi penemuan dengan kerajaan negeri Pahang serta pihak berkepentingan lain.
“Ia bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh semua pihak dalam usaha menyokong pemuliharaan marin dan usaha menangani perubahan iklim,” kongsinya.
Selain aktiviti penyelidikan di laut, OceanX Education telah menganjurkan beberapa lawatan pendidikan di atas OceanXplorer ketika berlabuh di Port Klang.
Program pendidikan itu melibatkan lebih 200 pelajar dan pendidik.
Program berkenaan merupakan salah satu usaha untuk memberi pendedahan kepada generasi muda tentang teknologi serta peluang meneruskan kerjaya dalam bidang marin.
“Lawatan ini memberi peluang unik kepada pelajar untuk meneroka kapal tersebut dan merasai sendiri keupayaan OceanXplorer secara langsung.
“Pada masa sama, mereka dapat mengetahui potensi kerjaya dalam bidang berkaitan lautan.
“Melalui lawatan pendidikan ini, kami memberi tumpuan terhadap usaha memberi inspirasi kepada generasi muda sebagai penjelajah lautan, penyelesaian masalah dan penyokong sambil mempelajari serta melibatkan diri dengan lautan,” kata Dalio.
Katanya, pihaknya juga merancang untuk melaksanakan pelbagai projek di seluruh Asia Tenggara selepas ini.
“Kami sedang dalam perbincangan dengan kerajaan di seluruh rantau ini untuk menganjurkan ekspedisi lebih besar,” katanya.
















