KUALA TERENGGANU – “Syukur Allah izinkan saya hidup lagi sedang nyawa sebenarnya sudah di hujung tanduk apabila diserang beruang matahari dari arah belakang.”
Itu luahan penternak kerbau, Nik Azhar Daud, 40, yang parah diserang haiwan buas tersebut ketika sedang memantau kerbau peliharaannya di sebuah ladang kelapa sawit di Jerangau Sungai, Dungun pada Khamis lalu.
Bapa kepada empat anak terbabit berkata, serangan itu berlaku sangat pantas dan dia tidak menyedari kehadiran beruang matahari berkenaan.
“Saya diserang sewaktu sedang berehat di sebatang pokok sambil memantau lebih 50 ekor kerbau peliharaan. Kira-kira lima minit bergelut.
“Sakitnya diterkam beruang itu hanya Allah yang tahu. Mujur saya sempat tarik parang yang terselit pada bahagian pinggang sebelum menikam badan haiwan liar itu membuatnya melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kosmo! pada Sabtu lalu melaporkan Nik Azhar cedera parah pada bahagian betis, lengan, tangan serta belakang leher akibat diserang beruang matahari tersebut dan keadaan itu menyebabkan dia serik untuk menggembala kerbau peliharaan.
Dalam pada itu, Nik Azhar mengakui pernah beberapa kali menemui kesan tapak kaki beruang matahari sewaktu menggembala kerbau di kawasan ladang kelapa sawit tersebut sebelum ini.
Begitupun, dia tidak sedar ancaman berkenaan selain menganggapnya tidak pelik memandangkan ladang kelapa sawit terbabit memang berdekatan dengan hutan simpan.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya sedang memantau kawasan serangan beruang matahari terbabit dan orang ramai dilarang untuk masuk ke kawasan berkenaan sehingga situasi kembali stabil.
















