HYUNDAI Santa Fe baharu generasi keempat versi facelift 2024 telah dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan reka bentuk yang lebih sofistikated.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan konfigurasi tujuh tempat duduk itu amat sesuai sebagai kereta keluarga yang selesa dengan ruang dalaman besar dan teknologi canggih untuk keselamatan.
Ia hadir dalam tiga varian iaitu 1.6L Turbo Hybrid Plus dijual pada harga RM195,888 atas jalan raya tanpa insurans, 1.6L Turbo Hybrid Max (RM215,888) dan 2.2L Turbo Diesel Max (RM209,888).
Dari segi dimensi, ketiga-tiga varian berukuran 4,785 milimeter (mm) panjang, 1,900mm lebar, 1,710mm tinggi dengan rel bumbung serta jarak antara roda sepanjang 2,765mm.
Reka bentuknya lebih berani dan moden yang mana Santa Fe hadir dengan gril lebar dan corak geometri ikonik yang berintegrasi dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED menyerlah berbentuk seakan huruf T.
Perbezaan antara varian-varian boleh dikenali menerusi saiz rim yang dipadankan iaitu varian Hybrid Plus dengan rim aloi 17 inci, Hybrid Max rim 19 inci, manakala bagi varian Diesel Max tampil dengan rim aloi paling besar bersaiz 20 inci.

Selaras dengan pemanduan teknologi hijau, varian 1.6L Turbo Hybrid menggabungkan enjin Gamma-II T-GDi Hybrid menghasilkan 177hp dan 265Nm.
Apabila digandingkan dengan motor elektrik 44.2kW serta transmisi automatik enam kelajuan, ia memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 226hp dan tork 350Nm.
Penulis berpeluang memandu uji varian 1.6L Turbo Hybrid Max selama tiga hari bagi merasai sendiri pengalaman dengan SUV mewah ini.
Perkataan pertama yang boleh digambarkan adalah SUV keluarga ini sangat selesa terutama untuk pemanduan jarak jauh dan kehebatan kuasa selari walaupun bersaiz besar.
Pemandu boleh menukar mod pemanduan kepada tiga mod pilihan iaitu Eco, Sport dan Smart mengikut keselesaan, malah kadar kesenyapan bunyi (NVH) SUV ini amat baik di mana bunyi bising dari luar amat minimal.
Santa Fe ini merupakan SUV yang menawarkan tujuh tempat duduk, jadi ruang kargo agak kecil tetapi jika mahu ruang yang luas, tempat duduk barisan ketiga dan kedua boleh direbahkan.
Malah, soket sambungan turut disediakan di bahagian bonet belakang sesuai jika kenderaan ini digunakan untuk aktiviti riadah atau rekreasi bersama keluarga di tepi pantai atau hutan.
Meninjau ke ruangan kabin, Santa Fe menawarkan ruang dalaman yang eksklusif dan selesa dengan balutan kulit skema warna hitam bagi semua varian.

Perbezaan ketara bagi versi facelift ini ialah konsol tengah kelihatan lebih tinggi dan tombol gear tradisional tidak lagi digunakan sebaliknya digantikan dengan butang ‘shift-by-wire’.
Varian Hybrid Max dilengkapkan dengan paparan skrin sentuh intuitif bersaiz 12.3 inci yang menawarkan sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto.
Untuk keselamatan pula, ketiga-tiga varian dibekalkan dengan dengan enam beg udara, ABS, ESC, bantuan mula-mendaki, kawalan brek turun bukit dan tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.
Ia juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Hyundai SmartSense yang memberikan fungsi Cruise Control Adaptive, Bantuan Mengelak Perlanggaran Hadapan, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Ikut Lorong,
Amaran Kepekaan Pemandu, Bantuan Lampu Tinggi, Bantuan Mengelak Perlanggaran Titik Buta, Amaran Perlanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak Perlanggaran Trafik Lintasan Belakang, Kepekaan Penumpang Belakang dan Amaran Keluar Selamat.
Empat warna badan ditawarkan untuk Santa Fe Facelift 2024 pasaran Malaysia iaitu Snowflake White Pearl, Jet Black, Meteor Grey dan Stormy Sea.
Kesimpulannya, penulis tertarik dengan rekaan sofistikated SUV keluarga Santa Fe ini yang masih menampilkan elemen eksklusif tetapi mengekalkan keselesaan dan pemanduan hebat untuk pemanduan di mana sahaja.
Dengan teknologi hibrid yang diperkenalkan, ia selari dengan misi automatif negara kurangkan emisi karbon dalam masa sama menawarkan ciri-ciri diperlukan untuk SUV keluarga.
















