KETIKA pelajar lain memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi setelah tamat alam persekolahan, ia tidak bagi Puteri Nur Alia Shafiqah Megat Azhar, 28.
Dia memilih untuk mendalami bidang kemahiran dengan mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3 dalam bidang Seni Pastri dan Bakeri di Silverspoon International College di Puchong, Selangor.
Menurutnya, selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia rasa tidak lagi berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
“Saya juga terfikir jika saya sambung pengajian dengan mengambil diploma dan ijazah saya akan menghabiskan masa hampir lima tahun.
“Jadi, saya membuat sedikit kajian dan melihat ada SKM yang tempoh belajarnya tidak terlalu lama,” katanya.
Tambah Puteri Nur Alia, kemudian dia mengambil keputusan untuk mengambil SKM meskipun pada mulanya keluarganya tidak bersetuju kerana mereka mahu dirinya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Dia yang mesra dengan panggilan nama Puteri Alia berkata, bidang kemahiran lebih sesuai dengan jiwanya dan dia sebenarnya memang minat untuk menghasilkan kek dan pastri.
Ini kerana, ketika dia masih di tingkatan satu dia sering melihat nenek dan ibu saudaranya menghasilkan kek, biskut dan kuih.
Malah, dia juga sering menolong mereka di rumah dan di situlah bermulanya minatnya dalam bidang tersebut.
“Bukan itu sahaja ketika di alam persekolahan, saya juga menghasilkan kek cawan red velvet yang menjadi trend ketika itu.
“Saya menjual kek itu di sekolah dan hasil jualan telah membolehkan saya untuk membeli sebuah telefon pintar kesukaan saya sendiri pada ketika itu,” jelasnya.
Puteri Alia menyatakan, menyambung pengajian dalam bidang kemahiran merupakan satu keputusan yang tepat dilakukannya. Ini kerana dia dapat mendalami ilmu tentang penghasilan pastri dan bakeri dengan lebih banyak.
“Saya belajar buat kek, pemanis mulut, roti, kuih-kuih Melayu dan banyak lagi.
“Dalam kemahiran ini, kita lebih banyak mendalami ilmu secara praktikal berbanding teori dan itu akan meningkatkan lagi kemahiran kita,” jelasnya.
Ilmu yang diraih Puteri Alia itu tidak disia-siakan begitu sahaja dan dia gunakan dengan sebaiknya.
Setelah menamatkan latihan industri dia memilih untuk menjadi usahawan dengan mengusahakan perniagaan sendiri. Perniagaannya dinamakan Alia & Her Cakes.
Puteri Alia menjual kek, pemanis mulut, biskut dan pelbagai lagi dan kini dia juga mempunyai dua pekerja yang membantunya.
“Saya mengusahakan perniagaan ini sejak tahun 2017 setelah tamat belajar.
“Saya mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan ini kerana yakin ia boleh pergi jauh dan permintaan terhadap kek, pemanis mulut, biskut dan lain-lain sentiasa ada.
“Kepakaran kita adalah menghasilkan kek khas untuk majlis perkahwinan, hari jadi dan apa jua sambutan. Selain itu, saya juga menerima tempahan pemanis mulut seperti brownies, tiramisu, cheese tart dan banyak lagi,” ujarnya.
Tambahnya, ketika ini dia mampu untuk menghasilkan sehingga 30 kek seminggu bagi memenuhi permintaan pelanggan.














