Penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Wilayah Persekutuan Labuan mengambil masa kira-kira 2 jam 30 minit. Sampai di lapangan terbang saya menyewa kereta untuk memudahkan keluarga melancong sambil memancing di sini.
Kami menginap di Palm Beach Resort & Spa Labuan kerana resort ini paling hampir dengan tempat operasi Blue Shark Fishing (BSF) iaitu fishing charter yang akan saya gunakan nanti.
Blue Shark Fishing
Awalnya saya tertarik dengan hasil yang disiarkan di Facebook BSF, saiz ikan gerepoh atau Giant Trevally atau singkatannya – GT yang dinaikkan pelanggan mereka betul-betul menggugat hati saya yang baru serius dalam arena big game popping ini.
Saya menyangkakan mereka ini adalah fishing charter (syarikat perkhidmatan memancing) dari luar negara berdasarkan gambar-gambar tersebut, tetapi setelah membuat carian online, saya tersilap. Rupanya mereka beroperasi di Labuan sahaja.
Lalu saya terus menghubungi BSF dan akhirnya satu tarikh telah ditetapkan. Khairolrizam Daud atau lebih dikenali sebagai Ejam merupakan seorang fishing guide (pemandu pancing) yang berpengalaman dalam selok-belok perairan di sana. Beliau juga merupakan anak jati Labuan dan seorang penyelam (diver) yang bertauliah.
Bot BSF yang ditempah khas khusus untuk aktiviti casting, jigging dan popping membuatkan trip saya sangat selesa.

Jika memancing bersama Ejam, koreklah rahsia popping, insya-Allah dia tidak lokek ilmu untuk mengajar. Oleh sebab itulah, perkhidmatan botnya sering mendapat tempahan dari pemancing luar negara seperti Jepun, Australia, China dan banyak lagi.
Set pancingan dan ikan sasaran
Memandangkan saiz GT di sini bagak belaka, set pancingan yang saya gunakan juga wajib ampuh. Saya guna joran berkekuatan dari PE6 hingga 10, manakala kekili pula saiz 8000 hingga 14000.
Tali utama (mainline) bersaiz 100 hingga 120 paun (lb). Saranan guide untuk perambut (leader) bermula dari 170 sehingga 230lb kerana GT di sini berlegar di kawasan terumbu karang, jadi akan melakukan serangan dari kawasan tersebut dan terus membenam ke struktur tajam.
Gewang permukaan seperti popper, pencil dan stickbait amat disukai oleh GT di sini. Selain itu, kawasan berterumbu yang tidak dalam inilah yang membuatkan anda perlu pastikan set popping yang digunakan berkuasa untuk menahan benaman padu spesies ikan yang agresif ini bagi mengelakkan berputih mata.
Cuaca
Sebaiknya anda harus sentiasa ambil maklum keadaan cuaca kerana ia memainkan peranan penting dalam sesi pancingan. Biasanya amaran ribut dan angin kencang akan dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi, jadi pihak BSF akan sentiasa mengambil kira dengan notis ini untuk keselamatan dan trip terpaksa dibatalkan jika bahaya.
Alhamdullillah, trip saya ini cuaca menyebelahi, guide memberitahu akan mengambil saya sekitar pukul 7.30 pagi di tepi pantai di hadapan resort. Lokasi pertama mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja untuk sampai, mengikut katanya, sekiranya cuaca baik, dapat melihat Gunung Kinabalu dan ia berlaku pada pagi itu.
Sampai sahaja arus baharu bergerak pasang, kami bermula dengan sesi popping membuat bising di permukaan air untuk menerbitkan naluri pemangsa GT supaya menjadi aktif.
Trip ini saya berseorangan sahaja, jadi saya meminta supaya guide turut popping bersama-sama. Lokasi ini merupakan kawasan terumbu karang yang luas, jadi bot berhanyut sambil kami melakukan lontaran demi lontaran ke atas permukaan air dan memainkan popper dan stickbait.

Akhirnya saya mendapat sergapan yang pertama daripada penghuni karang yang menyambar gewang Napalm 200 dari Native Builder. GT berskala 9kg itu berjaya saya daratkan. Selepas itu kami terus berhanyut di lokasi yang
sama, cuma ada beberapa sambaran tetapi tidak lekat. Arus yang perlahan pada pagi itu juga membuatkan ikan menjadi kurang aktif dan agak pasif.
Menjelang tengah hari kami bergerak ke lokasi yang lain pula, taburan terumbu karangnya lebih luas dari lokasi pagi tadi dan arus juga semakin laju. Setelah berhanyut bot beberapa pusingan, kami terjumpa dengan sekumpulan ikan yang ‘meletup-letup’ di permukaan laut (frenzy).
GT frenzy
Guide memberitahu, ia kumpulan ikan GT dan terus bot digerakkan ke arah kumpulan ikan tersebut. Popper terus dilontar dan tidak sampai empat hingga lima kali henjutan, ia terus disergap dengan rakus.
Kami berdua berjaya menaikkan GT berskala tujuh hingga lapan kilogram (kg). Setelah itu, kumpulan GT tersebut hilang entah ke mana. Puas dicari, malangnya ia lenyap begitu sahaja, sementelahan itu, cuaca juga menjadi semakin panas.
Tidak mahu membuang masa, kami pindah ke terumbu yang lain. Pelik pula rasa hati apabila melihat guide sudah bersedia memakai fighting belt (tali pinggang tarung), dalam hati saya berkata, lokasi ini mungkin ada GT mega.
Saya turut bersedia memakai fighting belt sambil popping dengan penuh harapan. Tiba-tiba satu letupan atas air yang kuat menyambar popper milik guide tetapi sayang tersasar, berderau darah saya dibuatnya.
GT idaman
Selepas kejadian itu barulah guide memberitahu lokasi yang kami sedang terjah ini merupakan kawasan GT bersaiz kasar. Apa lagi, semangat saya naik meruap-ruap melakukan lontaran demi lontaran popper dan usaha saya tidak sia-sia apabila akhirnya popper saya disergap ganas.
Joran berkekuatan PE8 di- padankan kekili mendatar saiz 14000 menahan asakan ikan dan selepas beberapa ketika yang melenguhkan urat lengan, akhirnya ikan GT idaman panjang 91 sentimeter (sm) dan dianggarkan berat dalam 17kg itu berjaya dinaikkan.
GT tersebut segera dipulihkan dan dilepaskan kembali dengan selamat ke habitatnya. Satu kepuasan terasa dan tidak dapat digambarkan apabila berjaya melawan tentangan dan mendaratkan ikan sasaran.
Setelah itu kami berusaha gigih lagi, tetapi hanya sambaran yang tersasar, tiada lagi sergapan yang betul-betul lekat di mulut ikan, mungkin juga ini disebabkan perubahan arus yang semakin perlahan, jadi ikan GT kembali menjadi pasif.
Penutup tirai, kami pulang ke pantai pada pukul 5 petang. Ini merupakan trip pertama saya ke Labuan dengan pengalaman baharu dalam dunia popping GT dan yang pasti saya akan kembali lagi untuk mencari trofi yang lebih gadang lagi.














