fbpx
MIMI tidak mengenal erti putus asa dalam kehidupan dan kerjaya.

Bos Mem berwatak ibu, rutin jamu staf setiap Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SEBELUM sampai ke tahap ini, pelbagai liku pernah saya lalui terutama ketika berada di titik paling rendah dalam hidup.

“Daripada bekerja sebagai pengurus sumber manusia dan pegawai bank, jadi kerani pusat tuisyen sampailah ke tahap jual nasi lemak di bahu jalan semuanya saya pernah lalui.”

Demikian mukadimah yang terbungkam daripada hati seorang wanita tatkala menyorot kembali perjalanan getir hidupnya sebelum ini.

Mimi Haniza Mokhtar melalui pelbagai liku sebelum menggapai dan mendakap kejayaan ketika ini. Lebih setengah dekad bergelumang dalam dunia hartanah, dia yang mula merangkak dari bawah kini mampu tersenyum dengan hasil yang mampu dituai kini.

Bergelar Pengarah Urusan Riza Rich Empire Sdn. Bhd., (Riza Rich) sebuah agensi dan ejen hartanah yang semakin meningkat naik, Mimi, 50, bersyukur dapat membantu merealisasikan impian ramai memiliki aset tersendiri. Syarikat dikemudinya juga bahkan berjaya meraih anugerah Best In Realty Development 2023.

“Kalau nak diikutkan saya memang langsung tiada latar belakang dalam bidang hartanah.

“Saya ada double degree dalam bidang pengurusan sumber manusia dari Open Universiti Malaysia cawangan Perak dan pentadbiran perniagaan dari Universiti Malaya.

“Jadi, kerjaya saya ketika di awal juga pasti yang berkait dengan apa yang diambil ketika belajar di universiti.

“Saya pernah bekerja sebagai pegawai bank di bahagian kewangan selama tujuh tahun sebelum bertukar kerjaya sebagai pegawai sumber manusia di Transmile Airline, Subang Jaya selama tiga tahun,” tutur wanita yang lebih dikenali oleh stafnya dan orang ramai dengan panggilan Bos Mem ini kepada K-Wanita baru-baru ini.

Jelas anak kelahiran Kuching, Sarawak ini lagi, atas beberapa sebab tertentu, dia terpaksa meninggalkan dunia ‘makan gaji’ dan mencuba nasib dengan berniaga.

Ketika itu, dengan sedikit bakat dan kebolehan memasak yang dikurniakan, dia memulakan perniagaan menjual nasi lemak di tepi jalan bermula tahun 2003.

Pun begitu katanya, perniagaan kecil-kecilan itu hanya bertahan selama tiga tahun dan terpaksa ditutup hingga menyebabkan dia mengalami desakan hidup yang begitu hebat.

Tidak mengenal erti putus asa, Mimi ‘kembali’ bekerja makan gaji dengan menjadi kerani di sebuah pusat tuisyen dan bertahan selama lapan tahun.

Ketika itu ujarnya, negara juga sedang berdepan dengan desakan ekonomi mencabar selain inflasi dunia yang teruk.

“Selepas keadaan tersebut reda, saya rasa kena buat sesuatu kerana ketika itu anak juga semakin membesar.

“Jadi saya tak fikir panjang dan cuba daftar jadi ejen hartanah di sebuah syarikat tempatan yang saya lihat dalam sebuah iklan. Rupanya itulah titik tolak kepada apa yang saya lakukan ketika ini,” katanya yang mula aktif terlibat dalam dunia hartanah bermula tahun 2015.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, berbekalkan pengalaman dan modal hasil titik peluh kerjanya, dia mencabar diri melangkah setapak lagi.

Beritahunya, dia memberanikan diri untuk membuka syarikat hartanah sendiri diberi nama Riza Rich pada tahun 2019

Berpangkalan di Southville City, Dengkil, Selangor, Riza Rich kini semakin dikenali sebagai sebuah syarikat hartanah yang menerima pelbagai pengiktirafan.

“Perkhidmatan kami tawarkan adalah menjalankan servis jual, beli, sewa dan refinance harta tanah serta merekrut sesiapa saja yang ingin menjana pendapatan tambahan sebagai ejen hartanah.

Mimi (tengah) bersama kakitangan syarikat ketika menerima salah satu anugerah baru-baru ini. – KOLEKSI MIMI HANIZA

“Sebagai ketua dalam organisasi, penting bagi saya memastikan visi dan misi syarikat tercapai sekali gus dapat membantu seluruh masyarakat di negara ini memiliki aset rumah walaupun hanyalah perumahan mampu milik,” katanya.

Sehingga kini, Riza Rich telah berjaya membantu lebih 1,500 orang memiliki aset sendiri termasuk rumah kediaman meliputi seluruh Malaysia.

Sebagai seorang bos wanita, Bos Mem merupakan bos yang membawa watak ibu di organisasi supaya tiada seorang staf pun akan merasa janggal apabila bersamanya. Hubungannya bersama para staf sangat akrab seperti keluarga.

Bos Mem juga pada Disember lalu telah membawa seluruh pasukan Riza Rich bersama keluarga masing-masing bercuti ke Langkawi.

Suka memasak, menjadi rutin Bos Mem juga membawa juadah untuk dikongsi bersama staf setiap Jumaat. Hari Jumaat dianggap sebagai sesi bonding penuh keberkatan.

“Memandangkan waktu rehat pada hari Jumaat lebih panjang, saya memanfaatkannya untuk sesi bonding bersama staf. Dalam suasana penuh keberkatan Jumaat, sesi ini menjadi lebih bermakna, diiringi doa agar segala usaha diredai dan diberkati,” katanya.

Berkongsi cabaran bekerja dalam bidang hartanah, peminat motosikal berkuasa tinggi ini juga mengakui terdapat beberapa cabaran yang mungkin tidak disedari ramai.

“Antaranya, sebagai pengarah urusan, anda perlu uruskan pelbagai jenis risiko secara serentak termasuklah risiko perundangan yang kompleks terutama berkaitan pemilikan tanah, permit pembangunan dan pematuhan undang-undang.

“Risiko kewangan dan operasi yang besar juga merupakan antara cabaran lain kerana projek hartanah memerlukan modal tinggi.

“Selain itu, keputusan membuat keputusan jangka panjang dalam persekitaran tidak menentu juga perlu diberi perhatian,” katanya.

Jelasnya, setiap cabaran itu memerlukan kemahiran kepimpinan tinggi, pemikiran strategik mendalam dan keupayaan untuk membuat keputusan yang sukar dalam keadaan kompleks.

Diaju bagaimana dia membahagikan masa antara tugas sebagai pemimpin berkaliber dalam organisasi dan isteri serta ibu di rumah, Mimi memberitahu itu memang suatu yang mencabar.

“Saya cuba merancang dengan teliti, memberi keutamaan kepada yang penting dan bergantung kepada sokongan pasangan (suami) serta keluarga.

“Kunci utamanya adalah fleksibiliti, komunikasi yang baik dan kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan semasa,” ujarnya.

Ditanya pandangan peribadinya mengenai tahap kesedaran masyarakat hari ini terhadap ilmu hartanah, Mimi berkata, dia menyaksikan kebelakangan ini masyarakat telah cakna akan ilmu tentang hartanah ini.

“Hal ini disebabkan segala ilmu hartanah banyaknya telah dikongsikan di seluruh pelosok internet. Hanya di hujung jari mereka boleh mendapat informasi berkenaan hartanah.

“Kecaknaan terhadap ilmu hartanah semakin meningkat, tetapi pendidikan berterusan dan peningkatan literasi kewangan masih perlu dilakukan agar masyarakat dapat membuat keputusan yang lebih bijak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN