fbpx
PERSEMBAHAN bunga api sempena sambutan Tahun Baharu 2025 di Dataran Putrajaya kelmarin.

Azam sekadar di mulut baik lupakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUDAH tiga hari 2025 membuka tirainya. Seperti biasa tahun silih berganti, begitu juga dengan azam.

Bagaimana dengan azam tahun lepas anda? Adakah ia sudah tercapai atau ‘terpaksa’ dibawa ke tahun baharu ini?

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi & Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad berkata, berbicara mengenai azam yang acap kali dilafazkan, ia haruslah diiringi dengan tindakan, bukan sekadar kata-kata kosong.

Katanya, ada pun begitu hakikat yang perlu ditelan, ramai orang suka hidup dalam azam kosong.

“Mereka suka cakap besar dan pasang impian setinggi gunung tentang perubahan yang bakal dilakukan.

“Tetapi pada akhirnya langsung tidak bersedia untuk berubah, berdisiplin mahupun konsisten.

“Lepas itu, bila tahun depan memberikan salam, ulang balik skrip dan azam yang sama. Ibarat tahun 2024 jadi 2025, kemudian membawa ke 2026, hidup mereka tetap di takuk lama,” katanya kepada Kosmo!.

Jelas Mohd. Suhaimi, jika benar mahu mengubah hidup dengan azam baharu yang dibuat, mulakan sekarang dan lakukan secara realistik.

“Tidak perlu nak tunggu hujung tahun baharu mahu berubah atau cipta azam baharu.

“Mulakan sekarang, walaupun langkah pertama itu kecil, tetapi mesti realistik dan anda akan dapat lihat hasilnya,” katanya.

Katanya, masa langsung tidak akan pernah menunggu seseorang, bahkan kita yang harus mengejar masa itu.

Sementara itu, pakar psikologi, Dr. Meriam Omar Din menyifatkan, azam adalah semangat dan motivasi dalaman yang akan mendorong seseorang melakukan sesuatu sehingga berjaya.

Justeru, azam mesti diiringi semangat, matlamat jangka pendek dan panjang, kesungguhan yang menggerakkan kita melakukan sesuatu.

“Dalam dunia ini, ramai yang berazam tetapi tidak diiringi usaha. Sekadar berkata: “Sempena tahun baharu, aku hendak berubah.”

“Tetapi tetap begitu juga tanpa tindakan dan usaha. Justeru, paling penting azam hendaklah disertai tindakan dan tidak cukup dengan kata-kata yang terlafaz di mulut.

“Azam yang sekadar di mulut biasanya tidak sampai ke mana-mana. Jika ingin berjaya, seseorang itu harus ada tindakan dalam apa yang diusahakan,” ujarnya.

Tuntasnya, hendak tunggu tahun baharu lagi atau bagaimana? Atau nak mula azamkan itu sekarang? Pilihan di tangan anda. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN