fbpx
Rohaizad menunjukkan durian kesep merah Kukup ketika ditemui di gerai buahnya di Pekan Permas, Kukup, Pontian semalam.

Durian kesep merah RM35 sekilo lagi umphh…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Meskipun nama­nya tidak sehebat musang king dan duri hitam namun buah durian kesep merah Kukup tetap menjadi buruan setiap kali tiba musimnya.

Durian kampung premium tersebut sebenarnya mempunyai peminat tersendiri kerana keenakan rasanya yang manis berlemak berbanding jenis durian kampung yang lain.

Seorang peraih dan penjual durian tempatan, Rohaizad Abdul Rashid, 44, berkata, kesep merah hanya terdapat di Kukup dengan pengeluaran sangat terhad setiap kali musim durian tiba.

“Kalau sebut tentang durian pasti ramai terbayangkan keenakan musang king, D24, duri hitam, durian kahwin, durian kampung dan sebagainya.

“Namun jika jika disebut tentang kesep merah pasti ramai kurang mengetahui kewujudannya yang hanya terdapat di kawasan Kukup,” katanya ketika ditemui di Pekan Permas, di sini semalam.

Berpengalaman selama 20 tahun sebagai penjual durian Rohaizad menambah, durian kesep merah mempunyai ciri-ciri seperti biji sangat kecil, isi tebal, rasa manis dan lemak selain anggaran berat sebiji 1.5 kilogram.

“Ramai memberitahu rasa­nya lebih enak daripada musang king,” ujarnya.

Katanya, pengeluaran durian kesep merah terhad sekitar 200 kilogram pada musim kali ini, menyebabkan durian tersebut perlu ditempah dahulu dengan harga kira-kira RM35 sekilogram (kg).

Selain durian kesep merah, Rohaizad juga menjual pelbagai durian lain antaranya udang merah kukup, duri hitam, durian kampung, durian kahwin dan juga musang king.

Dia memberitahu, durian udang merah Kukup datang dari beberapa kawasan seperti Kampung Sungai Durian, Serkat, Telok Kerang dan Rambah dan kebanyakan pokoknya te­lah berusia lebih 20 tahun.

Tambahnya, dia menjual durian udang merah Kukup ini mengikut gred di mana Gred A dengan harga RM28 sekilogram, Gred B (RM20) dan Gred C (RM15).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN