PETALING JAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menafikan UMNO mahu berhimpun dengan Pas di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya pada 6 Januari 2025.
Beliau yang juga Ketua Sekretariat Media Kerajaan Perpaduan berkata, perhimpunan Solidariti Najib Razak tersebut anjuran UMNO dan diketuai oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
“Pas nak berhimpun juga itu hak mereka. Bila masa kita nak berhimpun sekali dengan Pas,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng terhadap UMNO kerana berganding bahu dengan Pas bagi mengadakan perhimpunan solidariti untuk Najib Razak minggu depan.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dipetik berkata, ia akan menimbulkan keraguan tentang keikhlasan UMNO menjadi rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri .Anwar Ibrahim.
Lokman berkata, Guan Eng sepatutnya membuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut.
“Kamu tu bekas Menteri Kewangan dan bekas Ketua Menteri. Kita pun dah keluar kenyataan. Kita tak perlu bazir masa nak berhimpun kalau kita juga boleh minta Tan Sri Tommy Thomas (bekas Peguam Negara) gugur kes Najib macam kes kamu digugurkan.
“‘You should stop sabotaging Anthony’ (Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook). Setakat ini kumpulan kamu paling banyak merosakkan Kerajaan Perpaduan,” katanya. – KOSMO! ONLINE