SHAH ALAM – Dipandang hina dan dibuang oleh ahli keluarga sendiri antara pengalaman duka yang dialami oleh seorang wanita sebelum dia bangkit ‘melawan’ untuk berjaya dalam kehidupan hasil bimbingan dan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Balu empat anak, Norhayati Maslinda Chew Asmawie Chew, 46, memberitahu, episod ‘kejatuhan’ hidupnya bermula apabila suaminya meninggal dunia betika berusia 61 tahun akibat tumor otak ketika Perintah Kawalan Pergerakan pada 2021.
Katanya, ketika itulah hidupnya menjadi perit termasuk difitnah rakan sendiri yang dikenali sejak alam persekolahan.
“Perniagaan pembinaan dan ubah suai rumah hancur dua tahun lalu apabila tiada pelanggan hingga kami dihalau ketika tengah malam daripada rumah sewa apabila pemilik menaikkan harga kepada RM800.
“Kami terpaksa pinjam kereta kawan anak sulung untuk pindah sebelum dapat sewa bilik di Klang dengan pinjaman wang rakan-rakan untuk deposit,” katanya selepas majlis Anugerah Asnaf Cemerlang di sini baru-baru ini.
Menurut Norhayati Maslinda Chew, lebih sedih apabila melihat empat anaknya yang kini berusia tujuh hingga 26 tahun terpaksa tidur berhimpit di dalam bilik sewa tersebut.
Tambahnya, dia kemurungan selama enam bulan dan nasibnya seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila dibuang dan dihina ahli keluarganya sendiri.
“Saya enggan keluar bilik dan simpanan tinggal RM10 menyebabkan anak gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Mujurlah anak perempuan sulung membantu termasuk membayar sewa RM500 sebulan dengan bekerja di kedai serbaneka,” katanya.
Ujar Norhayati Maslinda Chew, pada masa sama, dia berhempas pulas mencari kerja untuk membayar hutang keluarga berjumlah RM50,000.
Menurut wanita itu, kehadiran LZS membuka peluang baharu kepadanya dengan mengikuti program iKerjaya dengan pelbagai pengetahuan dibimbing untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Zakat membeli jiwa saya dengan memberikan motivasi dan pengetahuan meskipun saya telah berniaga selama 20 tahun. Kesusahan ini benar-benar mengajar saya erti menjadi wanita kuat dan reda.
“Berkat usaha dan tunjuk ajar, saya kini menjawat jawatan Pengurus Pembangunan Perniagaan Koperasi Kontraktor-Kontraktor Tenaga Nasional Berhad,” katanya.
Seorang lagi bekas asnaf, Nisa, 24, berkata, dia juga pernah dihalau dan berdepan ancaman along termasuk rumah sewa disimbah cat merah ekoran hutang bapanya berjumlah RM10,000.
Kata anak kedua daripada dua beradik itu, pengalaman itu dilalui ketika berusia 10 tahun dengan ibunya hanya menyara hidup sebagai pengasuh dengan pendapatan RM1,500.
“Empat kali along buat onar. Hutang berjaya dilangsaikan dengan batuan jiran dan ahli keluarga ibu.
“Kami bergelar asnaf pada 2013, manakala ibu bercerai sejak tujuh tahun lalu. Saya trauma untuk mengenali lelaki dan fokus ubah nasib keluarga berhasil apabila memperoleh ijazah hasil bantuan LZS dengan CGPA 3.85,” katanya.
Bagi Putera Syafiq Danial Shamsul Khairi, 21, kesempitan hidup memaksanya berhenti sekolah untuk membantu keluarga.
“Lebih malang apabila motosikal ayah jenis Keeway yang sering digunakan untuk ikuti program iKerjaya turut ditarik. Berkat doa dan dorongan semangat, saya kini menjadi penyelia makanan dan minuman di sebuah hotel di Lembah Klang,” katanya.














