MALAYSIA melakar detik bersejarah apabila berjaya melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama negara melalui inisiatif Proton Holdings Bhd. (Proton) dengan model Proton e.MAS 7.
Pelancaran Proton e.MAS 7 yang amat signifikan ke arah mencapai mobiliti emisi sifar karbon itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Disember lalu di Kuala Lumpur.
Lebih bermakna, EV pertama negara itu menandakan keupayaan jenama automotif tempatan bersaing dalam mengorak langkah ke arah mobiliti tenaga baharu dan inovasi teknologi hijau.
Model kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik itu hadir dengan dua varian e.MAS 7 Prime pada harga RM109,800 dan e.MAS 7 Premium RM123,800 (atas jalan raya tanpa insurans).
Proton turut menawarkan rebat RM4,000 kepada 3,000 pembeli terawal dengan harga selepas rebat RM105,800 untuk Prime dan RM119,800 untuk Premium.
Dibangunkan hasil kerjasama Proton dan syarikat automatif China, Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely), e.MAS 7 dibina menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA).
Dari segi dimensi, SUV elektrik ini bersaiz 4,615 milimeter (mm) panjang, 1,901mm lebar, 1,670mm tinggi dan jarak antara roda sepanjang 2,750mm.
Rekaan luar Proton e.MAS 7 ini menggunakan konsep minimalis futuristik dengan dua unit lampu LED di bahagian hadapan dan belakang dengan pemegang pintu tersembunyi serta rel bumbung. Luaran hadapannya tampak hampir bersih daripada sebarang gril dan dilengkapi logo Proton yang garang.

Varian Premium pula mendapat tambahan ciri bumbung kaca panoramik dan pintu tailgate (bonet belakang) automatik.
Di bahagian belakang, e.MAS 7 menawarkan ruang kargo sebesar 461 liter atau sehingga 1,877 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Dengan dilengkapi ciri aerodinamik, e.MAS 7 mempunyai rintangan angin yang rendah dengan drag coefficient (pekali seretan) 0.275.
Ia diperkemas dengan perincian rim aloi aerodinamik bersaiz 19 inci.
Terdapat lima warna pilihan iaitu Platinum Silver (perak), Turqoise Green (hijau), Slate Grey (kelabu), Quartz Rose (merah jambu) dan Lithium White (putih).
Bagi kuasa pula, kedua-dua varian dipacu unit janaan kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ‘12 dalam 1’ yang memacu roda hadapan dengan output kuasa 160kW (218 PS) dan tork maksimum 320Nm.
Proton e.MAS 7 boleh memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.9 saat dengan kelajuan maksimum 175 km/j.
Varian Prime dilengkapi dengan pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 49.52 kWh dengan jarak gerak sejauh 345 km untuk sekali cas penuh, manakala varian Premium pula dengan pek bateri 60.22 kWh yang membenarkan jarak gerak 410km.

Dilengkapi dengan rekaan bateri bilah pendek Aegis yang dibangunkan Geely, e.MAS 7 menyokong pengecasan AC 11kW, serta pengecasan pantas DC 80kW bagi Prime dan 100kW Premium di mana bateri boleh dicas 30 hingga 80 peratus sepantas 20 minit sahaja.
Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji e.MAS 7 varian Premium di litar fasiliti Proton Centre of Excellence (COE) di Shah Alam, Selangor.
Ternyata, pemanduan dengan e.MAS 7 dirasakan stabil apabila kenderaan memecut laju di laluan lurus melebih 100 km/j dan apabila mengambil selekoh kenderaan ini yang mempunyai berat 1,765 kg bagi varian Premium seimbang dan tidak ‘membuai’.
Sebagai pemandu wanita amatur, penulis boleh katakan memandu EV e.MAS 7 memberi keyakinan dengan kawalan stereng yang mantap berbanding kereta pesaing EV dari China yang turut diuji di litar itu.
Meninjau ke ruangan kabin, bahagian dalam SUV elektrik ini tampak moden dengan satu skema warna yang ditawarkan iaitu Indigo Blue.

Model ini dilengkapi skrin kluster digital 10.2 inci, skrin tengah 15.4 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Flyme serta skrin paparan head-up 13.8 inci.
Konsol tengah kereta ini juga lengkap dengan pengecasan telefon tanpa wayar dan ruang arm-rest.
Bagi aspek keselamatan, Proton menawarkan Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) Tahap 2 standard untuk semua varian e.MAS 7.
EV ini dilengkapi dengan enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem brek anti-kunci (ABS) serta peringatan tali pinggang keledar (SBR).
Kesimpulannya, Proton e.MAS 7 bakal memberi saingan hebat kepada jenama EV pesaing lain menerusi teknologi yang ditawarkan selain rekaannya yang menarik.
Ia bukan sekadar EV biasa tetapi menawarkan kecekapan, keselesaan, keselamatan dan kebolehpercayaan untuk pemanduan ke arah elektrifikasi kepada rakyat Malaysia dengan harga antara terendah di pasaran tempatan.
















