KOTA BHARU – Sebuah kubu yang dipercayai dibina semasa Perang Dunia Kedua yang ‘timbul’ berikutan runtuhan tanah yang berlaku berhampiran sebuah kondominium di Jalan Pasar Lama, di sini pada Isnin lalu menjadi tumpuan ramai.
Tinjauan Kosmo! mendapati, binaan yang dipercayai berusia lebih 80 tahun itu sudah dipasang dengan pagar keluli tahan karat untuk dijadikan tempat bersejarah.
Kawasan itu juga berkunci dan orang ramai tidak dibenarkan masuk sesuka hati untuk merakam gambar atau video.
Seorang pesara, Mohamad Abu Bakar, 70, berkata, dia mengetahui berhubung penemuan kubu itu selepas terbaca berita mengenainya kelmarin.
Katanya, dia teringin hendak melihat dengan lebih dekat binaan itu tetapi tidak berjaya kerana dilarang masuk kawasan itu dan dipasang dengan garisan kuning oleh pihak polis.
“Saya berharap kubu itu dijaga dengan baik oleh pihak berwajib sebagai memperingati tempat bersejarah dan peninggalan zaman pemerintahan British di Tanah Melayu.
“Suatu masa nanti kita boleh tunjukkan kepada anak cucu yang belum mengetahui sejarah lama,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, dia sebelum ini tidak mengetaui terdapat kubu di kawasan berkenaan.
Seorang pekerja swasta, Hayati Isa, 47, berkata, sebaik mengetahui berita penemuan kubu itu, dia mengajak keluarganya ke situ untuk melihatnya.
“Sebaik sampai ke sini, saya terkilan kerana tidak dapat lihat dengan lebih jelas. Saya meminta agar pihak berwajib menjaga dengan baik kerana ia boleh dijadikan tempat bersejarah yang boleh dilihat oleh rakyat Kelantan.
“Saya terkejut dan tidak menyangka terdapat kubu di sini semasa pemerintahan British di Tanah Melayu,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md. Nor dipetik berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai maklumat mengenai kubu bersejarah itu sebelum ini sehinggalah tebing sungai di lokasi berkenaan runtuh Isnin lalu yang membawa kepada penemuan tersebut.














