PERNIKAHAN Manisah dan Alex (bukan nama sebenar) sekitar tujuh tahun lalu berlangsung dengan cukup lancar. Meskipun Alex bukan dilahirkan sebagai seorang yang beragama Islam, namun kerana cinta dan sayang kepada Manisah, dia ikhlaskan dirinya untuk menjadi saudara baharu.
Perkenalan mereka tersulam sekian lama sejak masing-masing melanjutkan pengajian di salah satu universiti di Sabah.
“Kami berdua mula kenal antara satu sama lain sejak masing-masing belajar di universiti.
“Meskipun kami tidak senegeri dan berbeza agama serta pegangan, tetapi kami saling menghormati dan ada perasaan terhadap satu sama lain,” ujar Manisah memulakan bicara bersama K2.
Meneruskan cerita, ibu kepada seorang cahaya mata itu mengakui pada mulanya terdapat tentangan daripada ibu bapanya tatkala dia menyatakan hasrat untuk bernikah dengan Alex.
Manakan tidak, pertama sekali soal perbezaan agama dan keduanya masing-masing berasal jauh antara Sabah dan juga Perlis.
“Tetapi selepas suami (Alex) bertemu dengan ibu bapa dan menyatakan hasrat murninya yang mahu memperisterikan saya, barulah mereka terbuka hati.
“Jadi segala perancangan untuk bernikah bermula dan kami juga sama-sama kumpul duit.
“Meskipun Alex bekerja di Sabah dan saya pula di Pulau Pinang, tetapi cinta antara kami tetap utuh ketika itu,” katanya.
Diringkaskan cerita, mereka selamat disatukan dan sebelum itu Alex juga selamat memeluk Islam dan menjadi saudara baharu ditemani keluarganya.
Dua tahun berkongsi hidup, mereka dikurniakan anak sulung lelaki dan ketika itu Alex juga sudah menetap di Pulau Pinang dan bekerja di sana.
“Tiga tahun pertama berkahwin, Alex sangat baik dan tidak pernah tinggalkan solat.
“Malah, dia banyak bertanya saya dan saya juga banyak bergantung kepadanya selaku imam dan syurga saya.
“Kami juga kerap mengambil kesempatan dan peluang ketika ada masa untuk mendalami ilmu agama dengan menyertai kelas dan ceramah di masjid,” katanya.
Jelas Manisah yang bertugas di sebuah bank, Alex juga banyak tinggalkan perkara-perkara ‘buruk’ sewaktu dia bujang dan awal-awal mereka kenal.
Antaranya sudah tidak minum minuman beralkohol, sudah tidak makan daging khinzir, merokok, tidak lagi berjudi dan melakukan perkara-perkara tidak bermoral mahupun bertentangan dengan Islam.
“Jujur saya bangga dengan suami kerana dia mampu bertahan dengan perkara tersebut.
“Tetapi saya perasan masuk tahun ketiga kami bersama dan selepas dikurniakan anak, suami mula berubah.
“Suami mula merokok dan kadangkala saya nampak dia bawa balik minuman beralkohol dalam bentuk tin dan botol usai tamat kerja.
“Saya ada tanya dia juga kenapa mula merokok dan minum air keras, dia jawab sebab nak hilangkan tekanan dan penat seharian bekerja.
“Dia juga beritahu tak cukup tidur kerana terpaksa jaga anak yang masih kecil dan perlukan tenaga tambahan. Jadi dengan merokok dan minum minuman beralkohol sahaja penyelesaiannya,” katanya.
Beritahu Manisah, suaminya juga ada beritahu jangan risau kerana dia tidak akan berbuat demikian apabila sudah ‘okey’ nanti dan segera bertaubat dengan Tuhan.
Berbulan selepas itu, rupanya suami masih tidak berubah dan kali ini ia benar-benar menaikkan amarah Manisah.
“Suami bawa balik makanan panggang dan sup dalam bungkusan. Tanpa perlu memegang lama bungkusan tersebut, saya tahu apa isi di dalamnya.
“Ya itu adalah daging khinzir. Saya marah suami ketika itu dan tanya dia apa yang dia lakukan? Suami kata, dia rindu nak makan makanan tersebut dan sudah lebih tiga tahun tak menikmatinya.
“Astaghfirullah. Itu kalimah yang keluar daripada mulut saya tatkala itu. Suami dengan selamba terus membuka bungkusan tersebut dan makan seperti biasa tanpa sedikit pun rasa bersalah di depan isterinya.
“Ketika itu saya sudah tidak dapat kawal emosi dan terus bersiap serta bawa anak balik ke kampung saya di Perlis.
“Seminggu juga saya bawa diri dan kecewa dengan suami. Suami ada hubungi dan dia berjanji mahu berubah.
“Enam bulan saya bagi masa, tetapi dia tetap tidak berubah dan tetap dengan ‘u turn’ yang dilakukan itu. Dia tetap mahu jadi Alex yang lama.
“Lama memberi peluang dan seolah-olah bersubahat dengan perbuatan suami, saya nekad memfailkan perceraian di sebuah mahkamah syariah tidak jauh dari tempat tinggal,” katanya.
Beberapa ketika, mahkamah meluluskan perceraian mereka. Mudah kata, suami memang tidak mahu selamatkan rumah tangga dan biarlah dia memilih kemahuan dan jalan hidupnya.
















