fbpx
Dr. MUHAMMAD LOKMAN di Frozen Zoo, Kuantan, Pahang yang dilengkapi antaranya pelbagai mesin dan tulang haiwan terancam berserta DNA-nya.

Zoo DNA pertama di Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Filem Jurassic Park arahan Steven Spielberg yang ditayangkan pada tahun 1993 pernah menjadi fenomena yang memaparkan teknologi klon dinosaur melalui asid deoksiribonukleik (DNA) yang ditemukan dalam nyamuk.

Mungkin cerita yang diadaptasi daripada novel karya Michael Crichton itu hanyalah sains fiksyen, namun hakikatnya penghasilan semula haiwan yang pupus berkemungkinan besar dapat direalisasikan melalui teknologi daripada DNA haiwan berkenaan.

Mungkin ada yang tidak tahu satu-satunya tempat yang dapat merealisasikan usaha itu adalah Frozen Zoo yang berada di Institute of Planetary Survival For Sustainable Well-Being, Universiti Islam Malaysia (PlanetIIUM) yang terletak di Kuantan, Pahang.

Meskipun tidak sampai kepada penghasilan klon melalui proses jujukan DNA sahaja (tanpa ‘cell line’) seperti dalam filem Jurassic Park namun ‘cell line’ dan tisu yang ada disimpan di zoo berkenaan termasuk haiwan yang sudah pupus boleh ‘hidupkan’ semula spesies berkenaan.

Pengarah PlanetIIUM, Prof. Ts. Dr. Muhammad Lokman Md Isa berkata, Frozen Zoo yang ditubuhkan pada 2016 itu merupakan satu-satunya biobank yang menyimpan ‘cell line’ dan tisu yang terdapat di Asia Tenggara pada masa ini.

Kebanyakan biobank di dunia hanya menyimpan tisu dan bahan DNA tanpa kehadiran ‘cell line’ hidupan liar. Biobank seumpamanya hanya terdapat San Diego Frozen Zoo USA.

Katanya, zoo berkenaan kini menyimpan lebih 10 ‘cell line’ dan tisu spesies terancam termasuk badak sumbu sumatera yang telah pupus di Malaysia melalui penyimpanan ‘cell line’ yang berjaya dikultur daripada tisu tiga ekor badak sumatera yang terakhir di Sabah.

Katanya, antara ‘cell line’ dan tisu yang disimpan di dalam tangki khas ialah badak sumatera, harimau Malaya, tapir Malaya, pangolin, banting/tembadau, seladang, orang utan, monyet proboscis dan beruang matahari yang merupakan spesies beruang paling kecil.

“Harapan kita ialah memperkembangkan lagi fungsi Frozen Zoo ini dengan mengumpulkan seberapa banyak spesies biodiversiti bukan sahaja dari seluruh Malaysia tetapi meliputi kawasan serantau dan teknologi molekular serta selular ini dapat dimajukan dan kita boleh menambahkan populasi atau mengembalikan semula binatang yang terancam kepupusan.

Dr. Muhammad Lokman (kiri) bersama Timbalan Pengarah PlanetIIUM Dr. Redzuan Nur Hakim Abdul Razak dan salah seorang pegawai sains PlanetIIUM.

“Peringkat pertama sekarang ini kita hendak kumpulkan sebanyak mungkin spesies terancam di seluruh Malaysia. Kita pun ada bekerjasama dengan negara jiran seperti dari Thailand dan Indonesia supaya mungkin sampai ke tahap kita boleh berkongsi bank, boleh deposit sana deposit sini, berdasarkan ketetapan undang-undang Malaysia,” katanya.

Menurutnya, sampel biologi yang ada disimpan di dalam tangki nitrogen cecair dengan suhu yang sangat rendah kira-kira -196 Celsius dan berpotensi kekal selama-lamanya.

Katanya, dalam Frozen Zoo juga terdapat makmal persenyawaan in-vitro (IVF) yang dikhaskan untuk haiwan selain pelbagai peralatan berteknologi tinggi lain seperti makmal kultur tisu, makmal fasiliti haiwan, makmal penyelidikan berasaskan air, makmal produk semula jadi dan makmal bioinformatik.

Dalam pada itu mengulas mengenai proses penghasilan ‘cell line’ haiwan, katanya, pada peringkat awal tisu-tisu haiwan terbabit perlu diambil di lapangan dan dicampur dengan cairan khas agar tidak rosak sehingga sampai ke makmal.

Jelasnya, proses seterusnya adalah tisu-tisu daripada daging haiwan yang diperoleh itu akan dikultur kepada ‘cell line’ terlebih dahulu sebelum disimpan.

“Cell line’ ini adalah satu benda yang hidup dan melalui teknologi yang kita ada, kita boleh ‘grow’ ia supaya hidup, bila di ‘grow’ hidup, ia akan ‘forever’ dan membawa nukleus yang mengandungi DNA dalam sel tersebut.

“Jadi bila kita berupaya ‘grow’ kita ada kemungkinan untuk menghasilkan embrio atau janin baharu menggunakan sel yang kita ada.

“Sel yang kita ada ini kita panggil teknologi parthenogenesis iaitu penghasilan embrio tanpa menggunakan sperma, sebab kita ada sel itu tadi, kalau tak ada sel memang susah lah,” katanya.

Mengulas mengenai proses melahirkan haiwan klon terbabit, terangnya, ia memerlukan ibu tumpang yang akan digunakan bagi melahirkan anak spesies berkenaan.

Jelasnya bagi menghasilkan anak berkenaan nukleus di dalam ovum ibu tumpang akan dikeluarkan dan digantikan dengan nukleus daripada ‘cell line’ haiwan terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN