fbpx

Amanie Advisors serah bantuan kepada pelajar SPM terjejas banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada pelajar berasa berbangga kerana menerima sumbangan untuk persiapan menyambung pelajaran.

PETALING JAYA – Amanie Advisors, penasihat syariah global telah bekerjasama dengan Yayasan Amanie Care  untuk menyerahkan bantuan kewangan kepada  pelajar SPM yang terjejas banjir di Kedah dan Kelantan baru-baru ini.

Bantuan tunai diagihkan di dua lokasi utama iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah, Kedah, pada 5 Disember lalu dan SMK Meranti, Pasir Mas, Kelantan, pada 11 Disember 2024.

Kedua-dua sekolah ini antara yang paling teruk dilanda banjir, dengan kerosakan infrastruktur.

Gelombang banjir keempat tahun ini telah menjejaskan 51 sekolah di Kedah, termasuk lebih 1,500 pelajar. 

SMK Alor Merah, antara sekolah yang paling teruk terjejas, menerima sokongan segera daripada Amanie Advisors untuk membantu calon SPM meneruskan pengajian dengan gangguan minimum.

Di Kelantan pula, SMK Meranti mengalami kerosakan teruk, dengan lapan treler sampah dibuang dari kawasan sekolah. 

Sumber penting, termasuk bahan pengajaran dan peralatan makmal, musnah disebabkan banjir. Namun, sekolah dapat beroperasi semula pada 9 Disember 2024. 

Bantuan tunai Amanie Advisors telah menyokong 136 pelajar SPM, membolehkan mereka fokus pada persediaan peperiksaan.

Mengulas mengenai bantuan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Amanie Advisors, Suhaida Mahpot berkata, pihaknya memahami betapa pentingnya pelajar kekal fokus pada masa yang kritikal ini. 

“Keutamaan kami adalah membantu meringankan beban mereka, membolehkan mereka memberi tumpuan kepada SPM.

“Kami berharap dapat menginspirasi pelajar – pelajar SPM, agar terus tabah dan maju ke hadapan dengan penuh keyakinan. Amanie Advisors akan terus mengulurkan bantuan di mana ia diperlukan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Amanie Advisors, terkenal dengan kepakaran dalam penasihat Syariah dan kewangan beretika, sentiasa mengintegrasikan tanggungjawab sosial dalam inisiatifnya. 

Sumbangan daripada syarikat ini semasa banjir baru-baru ini telah mengukuhkan komitmen kakitangannya  dalam membawa impak positif dan membina daya tahan melalui pendidikan. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI