PUTRAJAYA – Harga sayuran dan makanan laut di kawasan Semenanjung Malaysia dilaporkan masih stabil, namun faktor perubahan cuaca luar jangkaan memberi kesan kepada pengeluaran hingga menyebabkan kenaikan harga bahan mentah itu.
Bahagian Harga Barangan Negara (BHBN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, dapatan analisa perbandingan harga sayur-sayuran juga tidak menunjukkan peningkatan harga melebihi 50 hingga 80 peratus seperti didakwa.
“Berdasarkan analisis perbandingan harga sayur-sayuran minggu pertama (M1) Disember dengan minggu keempat (M4) November, ia menunjukkan 25 item atau 64.1 peratus telah mengalami
peningkatan harga.
“Bagaimanapun, kebanyakkan item yang mengalami peningkatan harga adalah tidak melebihi lima peratus.
“Antara item yang mengalami peningkatan harga ketara iaitu melebihi lima peratus ialah sawi (19.6 peratus), bayam merah (14.8 peratus), bayam hijau (14.5 peratus) dan kangkung (12.8 peratus),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
BHBN berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! yang melaporkan harga sayur- sayuran di tujuh negeri mengalami kenaikan ekoran bencana banjir sejak bulan lalu.
Antara sayur yang mengalami kenaikan harga adalah sawi panjang, kailan, lobak, timun, kangkung, daun sup dan tomato.
Terengganu merupakan negeri yang mengalami kenaikan ketara iaitu sekali ganda bagi barang basah tersebut.
Mengulas lanjut, BHBN menjelaskan, 13 item atau 33.3 peratus turut mengalami penurunan harga seperti terung panjang, cili api merah dan kunyit hidup.
“Susulan itu, KPDN menyeru kepada pengguna untuk memuat turun dan mengguna aplikasi Price Catcher bagi membantu pengguna membuat perancangan dan perbandingan harga.
“KPDN akan terus komited memastikan seluruh warga Malaysia dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu ketika ini,” katanya.














