KANGAR – Elaun pegawai masjid di Perlis termasuk bilal, siak dan penjaga kawasan dinaikkan sebanyak RM200 sebulan mulai tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Muhammad Azmir Azizan berkata, kadar baharu itu menyaksikan bilal kini menerima elaun sebanyak RM650 sebulan, manakala siak dan penjaga kawasan pula menerima RM600 sebulan.
“Kenaikan ini adalah hasil kajian perbandingan dengan negeri-negeri di zon utara. Kerajaan negeri bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) komited memastikan elaun pegawai masjid di Perlis setara atau lebih baik berbanding negeri lain.
“Kenaikan ini juga bertujuan meningkatkan kebajikan pegawai masjid di negeri ini,” katanya ketika menjawab soalan Saad Seman (PN-Chuping) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perlis, di sini hari ini.
Sementara itu, MAIPs turut memperkukuhkan inisiatif membantu rakyat melalui Skim Bantuan Kediaman MAIPs Peduli, Bantuan Baik Pulih Kediaman dan Baik Pulih Mikro Kediaman.
Menurutnya, sehingga 20 November lalu, sebanyak 339 buah rumah telah siap dibina atau dibaik pulih melibatkan 102 kariah di seluruh Perlis.
“MAIPs menyasarkan bantuan perumahan kepada 918 penerima setiap tahun, menjadikan ia agensi paling banyak menyalurkan sumbangan kediaman di negeri ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE