ISLAM sangat mementingkan persoalan kepimpinan (qiyadah) dan meletakkan garis pedoman yang sangat jelas tentang urusan pelantikan pemimpin.
Al-Quran turut menggariskan seorang pemimpin itu haruslah terhimpun kepadanya dua perkara, iaitu al-qawiy (mampu atau kredibiliti) dan al-amin (jujur atau berintegriti).
Ketiadaan salah satu daripada ciri tersebut akan melahirkan kekacauan dalam urusan pengelolaan masyarakat.
Malangnya, krisis inilah yang sedang dihadapi oleh aktivis dan pemimpin Islam di Malaysia.
Mengambil maklumat daripada media sosial dan medium WhatsApp tanpa tapisan, tidak melakukan rujuk silang, berhujah dengan berita palsu, menggunakan sumber surat layang hinggalah kepada kualiti perbahasan di Parlimen yang sangat dangkal.
Inilah bahana kepimpinan yang terpaksa ditanggung oleh seluruh masyarakat Islam di Malaysia ketika ini.
Belum lagi mengambil kira betapa tohornya kefahaman pemimpin-pemimpin Islam di Parlimen dalam isu-isu sosial seperti pendidikan, ekonomi, teknologi dan seumpamanya sehingga melahirkan hujah yang tidak mendasar.
Seolah-olah isu-isu hal ehwal manusia itu sebagai sekular daripada kamus gerakan Islam.
Walhal, keterpisahan agama dengan hal ehwal duniawi adalah satu bentuk sekularisme baharu yang sedang meracuni aktivis dan pemimpin gerakan Islam. Bahkan, keterpisahan inilah yang menjadi punca kemunduran dan kegelapan bangsa Barat suatu masa dahulu.
Hal seperti ini perlu menjadi kerisauan dan dibincangkan secara bersungguh-sungguh memandangkan pemimpin Islam akan menjadi model tentang kesyumulan Islam (comprehensiveness of Islam) serta simbol kepimpinan Islam yang ingin ditawarkan kepada masyarakat beragam etnik dan agama seperti Malaysia.
Mereka memikul taklifan (tanggungjawab) yang sangat berat kerana mendukung identiti Islam.
Sebagai contoh, tidak lama sebelum ini terdapat seorang ahli Parlimen yang membahaskan tentang kemudaratan sistem riba, namun hujahnya masih lagi berlegar dalam ruang lingkup teoritikal dan hukum-hakam, dan masih gagal untuk mengusulkan jalan keluar daripada sistem tersebut.
Barangkali mereka sendiri tidak mengambil iktibar oleh karangan tokoh gerakan Islam yang sering menjadi rujukan, iaitu Sheikh Dr. Fathi Yakan dalam bukunya yang diterjemah dengan judul Parlimen Islam: Konsep Islam Mengenai Kegiatan Parlimen dan Pilihan Raya.
Buku itu menegaskan keperluan pembentukan polisi yang konstruktif dalam segenap bidang baik soal pendidikan, alam sekitar, masalah sosial dan ekonomi sebagai satu wahana mencegah kemungkaran yang maha dahsyat.
Menurutnya lagi, aktivis Islam yang berada di dewan perundangan (Parlimen) hendaklah berhasil mengalihkan idea-idea dan teori murni Islam ke tahap praktik dan bersifat empirikal.
Dengan itulah, kepimpinan Islam akan dilihat sebagai benar-benar menghayati konsep Islam sebagai ad-din (cara hidup) yang mampu mengeluarkan masyarakat daripada natijah formulasi dasar yang haru-biru.

ad-din (cara hidup). – Gambar hiasan
Tidak dinafikan, ketika ini muncul pelbagai aliran dalam kefahaman Islam yang cuba menggandingkan atau mengharmornikan Islam dengan isme-isme baharu ciptaan manusia, misalnya sosialisme, komunisme dan liberalisme.
Tidak kurang juga yang melihat Islam sebagai agama bertunjangkan nilai humanisme semata-mata sebagai kayu ukur mutlak, lalu menyisihkan syiar-syiar agama dianggap tidak memiliki nilai materialisme sosial.
Aliran-aliran ini cuba memposisikan Islam sebagai agama yang turut memiliki nilai-nilai kesejagatan seperti anjuran Barat, semisal keadilan, ketelusan, keterbukaan dan demokratik.
Tanpa sedar, ia sebenarnya telah tersilau dengan kerangka nilai dan ukuran Barat.
Meskipun begitu, ini tidaklah bermakna Islam sebagai sebuah agama jumud yang menolak secara pukal idea-idea tersebut.
Sebaliknya, Islam datang dengan kaedah menanggapi fahaman itu secara kritis dan tidak mengangguk terima secara membuta-tuli.
Jika tidak, wacana Islam hanya akan disajikan dalam bentuk produk tempelan seperti ‘pelayaran Islamik’ tanpa mendatangkan inti pati yang lebih substantif.
Dalam menanggapi kegalauan ini secara tersusun, pandangan Kuntowijoyo, seorang pemikir Islam dari tanah seberang, Indonesia perlu menjadi sandaran kepada aktivis dan pemimpin Islam di Malaysia.
Beliau menggagaskan, prophetic social science yang menggarap kesedaran ketuhanan dan kesedaran kemanusiaan secara segerak.
Kerangka kefahaman sebeginilah yang perlu menjadi landasan dalam wacana-wacana gerakan Islam di Malaysia, iaitu dengan mengamalkan sikap berdamai dengan ilmu-ilmu kemanusiaan.
Pendekatan sebegini bukanlah suatu tradisi yang asing, Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah, dua organisasi massa Islam di Indonesia turut menerbitkan telaah ‘fiqih korupsi’ bagi merekonstruksi konsepsi baharu korupsi yang makin berkembang.
Dalam konteks Malaysia, krisis ini telah lama diterjah oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya, Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi yang menekuni rasuah dari lensa sosiologi.
Begitu pun, berapa ramai aktivis dan pemimpin Islam telah melazimi karya tersebut? Kesombongan sebeginilah, yang akhirnya menyudutkan Islam daripada perbincangan dan permasalahan semasa masyarakat.














