KAPTEN Harimau Malaya, Dominic Tan menganggap Vietnam berpotensi menjadi ‘duri dalam daging’ pasukan dalam misi melayakkan diri ke pentas Piala Asia dua kali berturut-turut pada edisi 2027 nanti.
Sebagai rekod, Malaysia diundi pada saingan kelayakan Piala Asia 2027 bersama seteru tradisi, Vietnam selaku negara pilihan dengan Nepal dan Laos melengkapkan saingan Kumpulan F.
Menurut Dominic, setiap perlawanan antarabangsa adalah sukar dan sudah tentu pasukan mahu berikan yang terbaik pada semua perlawanan kelayakan bakal diharungi bermula Mac tahun depan.
“Sudah pasti semua aksi antarabangsa bukanlah perlawanan yang mudah terutama Vietnam yang dianggap sebagai salah satu kuasa besar bola sepak di rantau Asia.
“Ini adalah cabaran buat semua pemain yang akan membawa misi besar untuk tampil cemerlang sepanjang proses kelayakan nanti,” kata tonggak pertahanan Sabah FC itu.
Sementara itu, pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente turut mendoakan kejayaan Harimau Malaya meskipun tidak lagi bersama pasukan apabila kontraknya tamat selepas Piala Asean 2024 bulan ini.
“Saya sudah cakap banyak kali bahawa pasukan ini bukan baru dibentuk, sebaliknya mereka semakin berkembang dan menunjukkan peningkatan.
“Semua pemain sudah mencapai tahap kematangan selepas hampir empat tahun bersama dan saya rasa mereka ada potensi untuk layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut nanti,” katanya.
Sebagai rekod, skuad negara terpaksa menunggu lebih 43 tahun untuk layak ke pentas Piala Asia apabila berjaya bersaing pada kejohanan berprestij itu pada edisi 2023 di Qatar awal tahun ini.