Seorang pelajar pulang ke rumahnya di Sungai Golok, Thailand melalui ICQS Rantau Panjang semalam. – KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Pangkalan haram bukan lagi laluan pelajar sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Bimbang ditahan seterusnya didenda sehingga RM10,000 menyebabkan rata-rata pelajar yang menetap di Sungai Golok, Thailand memilih laluan ‘halal’ dengan menggunakan pas sempadan untuk masuk ke negara ini.

Rata-rata mereka memilih melalui Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang untuk langkah selamat dan bukannya mengharungi Sungai Golok melalui beberapa pangkalan haram seperti kebiasaan.

Kesemua mereka dikesan menunggang motosikal sendiri ataupun membonceng motosikal bersama rakan selain ada yang berjalan kaki melalui ICQS Rantau Panjang.

Malah, tinjauan Kosmo! di pangkalan haram Pohon Jambu di sini semalam mendapati, kawasan tersebut lengang dan tiada kelibat pelajar merentas sempadan pada waktu pagi dan pulang sekolah.

Situasi terkini itu berikutan penguatkuasaan polis yang akan menahan mana-mana individu menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara dan Thailand di sepanjang Sungai Golok berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Mereka yang melakukan ke­salahan itu ditahan mengikut ­Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000.

Seorang pelajar menunjukkan pas sempadan miliknya sebelum pulang ke rumah di Sungai Golok, Thailand melalui ICQS Rantau Panjang semalam.

Seorang pelajar dikenali Syafiqah, 17, berkata, dia tiada pilihan lain selain melalui ICQS untuk ke sekolah di Rantau Panjang sejak banjir surut, Khamis lalu.

“Saya sudah membuat pas sempadan bulan lalu kerana memilih untuk berulang-alik ke sekolah melalui ICQS Rantau Panjang bermula 1 Disember.

“Ibu bapa tidak benarkan saya menggunakan pangkalan haram kerana khuatir ditangkap dan didenda RM10,000,” katanya ditemui di ICQS Rantau Panjang di sini semalam

Syafiqah memberitahu, dia berulang-alik dengan menunggang motosikal dari rumahnya di Pangkalan Che Kasim, Sungai Golok, Thailand kerana lebih ­jimat berbanding menyewa rumah di Malaysia.

“Ibu bapa saya warga Malaysia, kami sudah ada rumah di Thailand. Jadi, tiada keperluan untuk keluarga menyewa di sini, lagipun kami tak mampu,” ­ujarnya.

Seorang lagi pelajar dikenali Rahmat, 16, berkata, dia membonceng motosikal tambang dengan caj RM2 sehala dari Kompleks Kastam, Imigresen, Kua­rantin (CIQ) Sungai Golok ke ICQS sejak minggu lalu.

Katanya, pihak sekolah mempelawanya untuk tinggal di asrama, namun dia lebih selesa ­menetap di rumah.

“Saya perlu turun dari rumah di Sungai Golok lebih awal kerana perlu menempuh perjalanan ­lebih 5 kilometer untuk ke sekolah. Sebelum ini, saya hanya perlu berjalan kaki sejauh 500 meter selepas merentas sungai melalui pangkalan haram.

“Saya perlu membuat pengesahan pas sempadan melalui imigresen di CIQ Sungai Golok dan ICQS Rantau Panjang setiap kali ke sekolah. Prosedur itu mengambil sedikit masa untuk melepasi sempadan, namun ia tidak menyebabkan saya lewat ke sekolah. Cuma, ia meleceh­kan,” ujarnya.

Seorang bapa dikenali Yie, 48, berkata, dia menemani anaknya berusia 13 tahun berjalan kaki dari CIQ Sungai Golok sejauh 300 meter untuk sampai ke ICQS Rantau Panjang untuk ke sekolah sejak Khamis lalu.

Katanya, keadaan itu disebabkan motosikalnya yang mempunyai pendaftaran Malaysia tidak mempunyai dokumen lengkap.

“Saya dan anak perlu berjalan kaki kerana motosikal ditinggalkan di pangkalan haram di sebelah Malaysia. Sebelum ini, urusan sangat mudah kerana melalui pangkalan haram.

“ICQS Rantau Panjang dibuka pukul 7 pagi dan proses pengesahan dokumen itu mengambil masa setengah jam untuk melepasi sempadan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN