fbpx

Caj RM1 di ATM perlu dihapuskan, bebankan pengguna – MTUC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyokong penuh gesaan Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) untuk memansuhkan fi RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di ATM.

Ini kerana kata Presidennya, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, fi berkenaan memberikan tekanan tambahan kepada pekerja berpendapatan rendah, khususnya mereka yang sudah bergelut
dengan peningkatan kos sara hidup.

Jelasnya, caj itu dilihat membebankan kerana ramai pekerja yang tinggal di kawasan pedalaman atau kurang akses kepada ATM bank mereka sendiri terpaksa menggunakan perkhidmatan bank lain.

“Fi RM1 mungkin kelihatan kecil, tetapi ia memberi impak besar kepada mereka yang sering mengeluarkan tunai. Pekerja yang menerima gaji secara mingguan atau harian, contohnya, akan menanggung beban kewangan lebih tinggi kerana kekerapan pengeluaran.

“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini, setiap sen adalah sangat bermakna untuk golongan pekerja dan keluarga mereka. MTUC juga menegaskan bahawa institusi kewangan dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mempunyai tanggungjawab sosial untuk memastikan perkhidmatan
mereka tidak menjejaskan kebajikan rakyat.

“Pemansuhan fi ini akan menunjukkan keprihatinan mereka terhadap golongan rentan dan membuktikan bahawa sektor perbankan di Malaysia bersedia untuk menyokong rakyat, terutamanya pekerja yang
menjadi tulang belakang ekonomi negara,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Effendy berkata, pihaknya turut menyokong cadangan agar golongan tertentu, seperti pekerja berpendapatan rendah, warga emas, dan mereka yang tinggal di kawasan luar
bandar diberikan pengecualian sekiranya pemansuhan sepenuhnya tidak dapat dilaksanakan.

“MTUC menyeru Bank Negara Malaysia, PayNet, dan semua institusi kewangan untuk mengambil langkah segera memansuhkan fi ini.

“Langkah ini akan meringankan beban kewangan pekerja, meningkatkan kepercayaan terhadap sistem perbankan, dan menunjukkan empati yang sangat diperlukan dalam situasi ekonomi semasa,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI