PETALING JAYA – Skuad hoki remaja negara menamatkan cabaran Piala Remaja Asia 2024 di kedudukan keempat selepas tewas 1-2 kepada Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di Stadium Oman Al Marat, Mucsat semalam.
Skuad kendalian I. Vikneswaran memulakan perlawanan dengan tekad untuk menebus kekalahan 1-3 kepada India pada aksi separuh akhir kelmarin.
Namun, tekanan awal skuad Samurai kendalian Yoshihiro Anai menyaksikan Jepun mendahului menerusi dua gol padang oleh Tanaka Tsubasa pada minit ketujuh dan Fujiwara Yuma berselang dua minit kemudian.
Enggan mengalah, Young Tigers kembali bangkit dengan serangan agresif dan membuahkan hasil apabila Mohammad Harris Iskandar Osman meledak gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-23 untuk merapatkan jurang kepada 1-2.
Skuad remaja negara terus meningkatkan intensiti permainan dengan melancarkan serangan bertali arus.
Malangnya, ketumpulan jentera penyudah menjadi penghalang sekali gus memberi ruang kepada Jepun untuk mempertahankan kelebihan mereka hingga wisel penamat.
Perjalanan Young Tigers di Piala Remaja Asia kali ini penuh warna-warni apabila memulakan kempen Kumpulan B dengan bergaya menewaskan China 5-2 dan Oman 9-1 sebelum prestasi mereka merudum selepas diikat Bangladesh 2-2 serta tunduk 1-4 kepada Pakistan.
Bagaimanapun, keputusan itu cukup untuk menempatkan skuad negara di kedudukan kedua kumpulan sekali gus mengesahkan slot ke Piala Dunia Remaja 2025 di India pada hujung tahun depan. – KOSMO! ONLINE