PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan angin kencang di negeri-negeri Timur Malaysia sehingga pukul 1 tengah hari ini.
MetMalaysia memaklumkan negeri yang terjejas dengan cuaca buruk ini adalah Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Di Sarawak, hujan lebat dan angin kencang meliputi kawasan Mukah (Daro), Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang,” katanya.
Sementara itu, Sabah turut sama diramalkan mengalami ribut petir berlaku melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort).
“Keadaan yang sama juga melanda keseluruhan kawasan di Wilayah Persekutuan Labuan,” tambahnya.
Walau bagaimanapun, cuaca cerah dan baik dijangka berlaku di seluruh Semenanjung negara pagi ini.
Penduduk di kawasan yang terlibat dinasihatkan agar berjaga-jaga terhadap risiko banjir kilat serta pokok tumbang akibat angin kencang. – KOSMO! ONLINE