SEBAIK sahaja isyarat diberikan, kuda putih bernama Faros itu mula berlari laju merentasi padang sejauh 150 meter.
Penunggangnya merupakan seorang kanak-kanak lelaki yang berada dalam posisi menegak sambil tangannya menggenggam busur dan anak panah.
Biarpun kuda bergerak pantas, namun tiga anak panah yang dilepas menyusuk tepat pada sasaran yang diletakkan pada tiga kedudukan berbeza.
Pemanah berkuda cilik bernama Abu Bakr Muhammad Akmal itu merupakan atlet memanah berkuda termuda di Ladang Alam Warisan, Kampung Tanah Datar, Seri Menanti, Negeri Sembilan.
Menurut kanak-kanak berusia 12 tahun itu, istiqamah merupakan kunci kepada kemampuannya untuk seimbangkan badan di atas kuda yang bergerak laju.
“Setiap pagi selepas subuh, saya akan berlatih memanah sambil berlari di padang sebagai salah satu cara untuk menguatkan otot kaki.
“Kemudian, saya akan tolong kerja-kerja mengangkat dedak untuk haiwan di ladang sebagai cara menguatkan otot tangan.
“Pada sebelah petang, saya akan berlatih memanah berkuda berulang kali. Setiap hari, paling kurang 200 anak panah dilepaskan,” katanya kepada K2.
Abu Bakr ditemui ketika melakukan demonstrasi memanah berkuda sempena kunjungan wakil-wakil media anjuran Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Gaya Travel Magazine.
Dilahirkan dalam keluarga memanah berkuda, anak bongsu daripada dua beradik itu mula belajar sukan itu secara tradisional pada usia empat tahun.
Kemudian, ketika di usia lima tahun, Abu Bakr mula belajar menunggang kuda sebelum menggabungkan kedua-dua aktiviti itu pada usia enam tahun.
Kini, anak jati Kuala Pilah itu telah berjaya mewakili negara dalam pertandingan antarabangsa kategori terbuka di China pada tahun lalu.
Jelasnya lagi, mewujudkan keserasian dengan kuda dalam masa singkat antara cabaran paling besar ketika pertandingan memanah berkuda peringkat antarabangsa.
“Kebiasaannya di pertandingan peringkat antarabangsa, kami tidak bawa kuda sendiri, namun kami diberi kuda, sehari sebelum pertandingan berlangsung.

“Kami akan bertemu dengan kuda pada sesi percubaan. Kami akan berjumpa kuda buat kali kedua dan terakhir pada 40 minit sebelum pertandingan bermula,” ujarnya.
Ladang Alam Warisan telah melahirkan 15 orang atlet memanah berkuda berusia antara 10 hingga 16 tahun yang mampu mewakili negara.
Lima daripadanya bergelar atlet negara di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Akademi Pemanah Berkuda Alam Warisan yang dimulakan sejak 2015 itu menawarkan dua kursus iaitu kursus atlet dan kursus kejurulatihan.
Kesemua aktiviti melibatkan kursus tersebut dilakukan selama enam bulan di dalam ladang berkeluasan kira-kira 24 hektar itu.
Ladang tersebut telah mendapat pengiktirafan daripada World Horseback Archery Federation (WHAF) sebagai satu-satunya tempat memanah dan berkuda yang lengkap serta terbaik di Malaysia.
Sebanyak 13 ekor kuda dan 200 ekor kambing biri-biri digunakan sebagai alat dalam mengajar anak-anak muda mengenai falsafah di sebalik sukan sunah nabi tersebut.
Sementara itu, seorang lagi anak muda, Muhammad Adam Hilmi Mohammad Aliff Shahimi memilih untuk menjalani latihan sebagai jurulatih memanah berkuda.
Tambah remaja berasal dari Pulau Pinang itu, kursus selama enam bulan tersebut memberi tumpuan pada kemahiran berkuda.
“Sebagai seorang jurulatih, saya tak boleh hanya tahu tentang memanah berkuda, saya juga perlu belajar cara berhubung dengan kuda dan teknik tunggangan.
“Kami belajar tentang cara kendalikan kuda sekiranya sakit, tidak ada mood atau menghadapi kesukaran untuk bekerjasama,” ujarnya.
Untuk pengetahuan, dalam kejohanan memanah berkuda, markah dikira berdasarkan kepantasan menunggang serta ketepatan memanah.
Pemanah berkuda akan menerima markah tambahan apabila berjaya menamatkan cabaran lebih pantas berbanding masa ditetapkan.
Mengulas mengenai cara untuk mengenal pasti sasaran ketika kuda bergerak laju, remaja berusia 18 tahun itu berkongsi tentang teknik ‘mind movie’.
“Untuk memastikan panahan tepat, pemanah perlu zoom in ke arah sasaran sehingga ia nampak lebih besar daripada biasa. Apabila kuda mula berlari, kami tidak lagi mengawal kuda. Di sini, perlu ada kepercayaan terhadap kemampuan kuda untuk lari mengikut laluan di trek,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Ladang Alam Warisan, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan berkata, dia gembira melihat anak didiknya mula mewakili negara.
Justeru, dia mahu terus melahirkan generasi pewaris sukan sunah tersebut.
Untuk makluman, Muhamad Akmal merupakan juara dunia acara Serial Shoot Team dan pemenang pingat perak acara Serial Shoot Individual di pertandingan 15th World Horseback Archery Championship 2019 di Sokcho, Korea Selatan.
Lebih menarik, lelaki berusia 43 tahun itu merupakan juara dunia terakhir yang menggunakan format lima sasaran sebelum diubah kepada format tiga sasaran pada 2020.
Katanya, selain berstatus sukan sunah, memanah berkuda juga menerapkan falsafah nenek moyangnya yang berketurunan Minang.
“Zaman dahulu , sewaktu sambutan Raja Bergolek (hari jadi raja), setiap suku akan memaparkan kehebatan masing-masing dan salah satunya adalah memanah berkuda.
“Memandangkan bapa saya merupakan Dato’ Lembaga dan ramai orang Minang berkuda, saya tergerak hati untuk menghidupkan sukan ini dalam diri anak-anak muda,” katanya.
Tambah bapa kepada dua orang anak itu, kuda yang digunakan untuk memanah berkuda berbeza dengan spesies dalam kategori ekuestrian.
Jelasnya lagi, perkara itu penting kerana sukan memanah berkuda memerlukan baka yang kecil, ringan dan pantas.
“Di sini, kami guna baka kuda kacuk Malaysia untuk sesi latihan dan pertandingan.
“Kami pernah cuba menggunakan kuda besar yang diimport, tetapi kami dapati ia tidak sesuai untuk dibawa berlari berulang kali,” ujarnya.














