ISU keganasan rumah tangga masih menjadi ‘aib dalam kain’ yang dirasakan mangsa tidak wajar didedahkan sehingga ada yang sanggup menahan sepak terajang hanya disebabkan percaya pasangan boleh berubah.
Sikap enggan mempercayai kebenaran selain terikat dengan tanggungjawab mempertahankan konsep keluarga idealis membuatkan niat angkat kaki kerap dipendam walau mental dan fizikal tidak mampu menanggung sengsara.
Takut kepada stigma negatif masyarakat terhadap wanita berstatus janda juga antara punca golongan teraniaya ini berat hati untuk keluar dari persekitaran toksik itu.
Namun paling menyukarkan untuk seseorang mangsa lari dari neraka buatan manusia itu adalah trauma andai diburu suami psikopat selepas kerap diugut atau dimomokkan bakal hilang anak.
Apabila segala daki rumah tangga terdedah terutama sikap baran suami yang tiada empati, antara soalan kerap diluahkan individu sekeliling adalah ‘kenapa tidak angkat kaki atau minta cerai?’
Jangan terkejut andai muncul pula ‘puak’ yang tega mempersoalkan bukti andai benar si polan didera suami sama ada dari segi mental mahupun fizikal.
Bertahun-tahun hidup bersama apatah lagi dilabel sebagai pasangan bahagia pasti mencetuskan rasa sangsi pihak terdekat andai secara tiba-tiba si isteri nekad menoktahkan penderitaannya dengan berterus terang kepada dunia.
Apa pun sokongan orang sekeliling terutama individu terdekat agar cakna menjadi mata dan telinga atau lebih tepat masih perlu bersikap ‘jaga tepi kain’ demi membantu mereka yang teraniaya.
Walaupun kerajaan menguat kuasa Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, namun isu kekerasan dalam rumah tangga masih menjadi masalah serius apabila impaknya turut terpalit kepada anak-anak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam Konvensyen Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Negeri Johor, baru-baru ini menzahirkan keprihatinan terhadap isu tersebut.
Katanya, masyarakat bertanggungjawab dalam memberikan bantuan secara langsung, bagi menangani isu-isu dalam komuniti seperti penderaan atau jenayah melibatkan keganasan keluarga.
“Kami percaya dengan penglibatan lebih ramai ahli komuniti bersama pihak kerajaan, seperti menyertai Skuad Waja di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) boleh membantu lebih ramai rakyat dapat dibantu.
“Selain kesihatan reproduktif dan mental, memperkuatkan undang-undang dan mekanisme perlindungan bagi wanita daripada keganasan dan penderaan,” katanya ketika merasmikan acara tersebut.
Bersandarkan statistik, sebanyak 2,794 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada pihak berkuasa dari tahun 2021 hingga 2023 di seluruh negara.
















