fbpx
Gambar hiasan

Apa salah Pulau Langkawi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Perjalanan menaiki feri dari Jeti Kuala Perlis ke Pulau Langkawi berjalan lancar dengan cuaca yang baik seperti menyambut kedatangan penulis yang sudah sekian lama tidak menjejakkan kaki ke pulau lagenda tersebut.

Keharmonian dan kedamaian yang dinikmati bercuti pada ‘low season’ memang membahagiakan sesiapa sahaja yang berkunjung ke pulau pelancongan tersebut, selain mendapat manfaat daripada harga barangan, pelbagai pakej pelancongan dijual pada harga diskaun, benar-benar memberi penjimatan kepada mereka yang pandai mengambil peluang keemasan ini.

Dimanakah nilai mahalnya Pulau Langkawi seperti yang ditohmah sebelum ini menyebabkan rakyat kini lebih terdorong melintasi sempadan negara semata-mata untuk mencari pengalaman percutian yang murah.

Persepsi Pulau Langkawi mahal mungkin ada pada segelintir masyarakat sahaja tetapi secara umumnya pulau itu tidak langsung tergugat dengan persaingan sengit daripada negara jiran.

Dalam kita semakin melupakan Langkawi, pelancong luar negara begitu taksub dan teruja bercuti berbulan-bulan di pulau berkenaan kerana ia dianggap sebagai syurga percutian pada harga yang segala-galanya murah.

Pergilah berjalan-jalan ke Pantai Chenang, ia sudah mirip seperti berada di Phuket atau Krabi, Thailand atau di Bali, Indonesia kerana segala-galanya meriah dengan perniagaan yang menjurus kepada selera pelancong asing.

Pelancong luar dari seluruh dunia begitu teruja berkunjung ke pelbagai tarikan yang terdapat di pulau berkenaan kerana cuacanya, lautan, pantai yang indah untuk berjemur, bermandi manda atau beriadah dengan aktiviti lasak, hutan, flora dan fauna, malah resort, homestay, roomstay dan kediaman yang disewakan begitu selesa untuk semua mereka mengikut bajet pelancong.

Mereka begitu menilai, menghargai dan menyanjungi apa yang terdapat di Langkawi sedangkan kita rakyat Malaysia lebih suka memandang ke negara luar yang akhirnya hasil jualan tersebut menyumbang kepada pendapatan yang lebih baik dalam sektor pendapatan di negara berkenaan.

Sektor perniagaan di Langkawi masih bertahan, tiada yang mengalami penderitaan hidup dan tiada bisnes terpaksa ditutup kerana kekurangan pelancong domestik, tetapi di sebaliknya merekodkan pertumbuhan jualan yang baik secara bermusim daripada pelancong seluruh dunia.

Pulau lagenda itu sungguh bernasib baik kerana ramai anak tempatan atau anak kelahiran Kedah masih setia berkhidmat di bumi bertuah itu, kelangsungan hidup diteruskan dengan pelbagai kerjaya yang dijalankan, malah kehidupan mereka sangat tenang dengan persekitaran pulau yang tidak sibuk seperti di bandar.

Ramai anak muda memilih untuk terus berkhidmat di situ melalui kreativiti, keringat empat kerat mereka daripada bekerja sebagai nelayan, jurugambar, salah seorang pemain pertunjukan api di Pantai Chenang hinggalah menjadi pengurus di resort atau hotel.

Mereka berbangga menjadi salah seorang duta pelancongan Pulau Langkawi dan mereka adalah pelapis kepada generasi kepimpinan masa kini.

Hargailah destinasi pelancongan di Malaysia kerana masih banyak lagi tarikan unik dan juga yang murah bersesuaian untuk bajet rakyat Malaysia yang suka bercuti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN