KUALA LUMPUR – Kenangan terakhir makan malam bersama anak kesayangan dan sehelai tuala menjadi pengubat rindu buat pasangan suami isteri sebelum kanak-kanak itu meninggal dunia akibat dirempuh kereta jenis BMW di Bukit Jalil Jumaat lalu.
Mohd. El-Khuwailid Rahim, 37, berkata, pada malam kejadian, dia bersama isteri, Hidayatul Izzah Ghazali, 37, dan anak mereka, Nur Naura Nathifa, 7, keluar untuk makan makanan kegemaran arwah, kuetiau sup.
Kata kerani bank itu, anaknya boleh menghabiskan makanan itu walaupun selama ini dia tidak begitu dan tersenyum sepanjang dalam perjalanan pulang di atas motosikal.
“Seperti biasa, kami pergi di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jalil setiap kali hujung minggu. Selain makan, Naura beria-ia minta saya ambil gambar di depan pokok krismas.
“Rumah kami terletak tiga kilometer sahaja dari pusat beli-belah itu, jadi kami hanya naik motosikal. Tak sangka itu perjalanan terakhir kami,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Mohd. El-Khuwailid, dia juga ada terjumpa lukisan arwah menggambarkan seolah-olah perjalanan ke syurga di dalam beg sekolah anaknya.
Sementara itu, Hidayatul Izzah berkata, dia masih menyimpan sehelai tuala terakhir arwah anaknya itu sebagai pengubat rindu.
“Tuala arwah masih lekat bau badannya, saya memang tidak basuh lagi, biarlah ia jadi pengubat rindu kami suami isteri. Pakaian arwah juga ada yang kami akan simpan sebagai kenangan,” ujarnya.
Ujar Hidayatul Izzah, mereka masih belum mempunyai kekuatan untuk kembali ke rumah di Bukit Jalil sejak kejadian pada pukul 9.50 malam itu kerana sering terbayang Naura sedang bermain.
“Buat sementara waktu, kami tinggal bersama keluarga abang di ibu negara,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan peniaga telefon bimbit, P. Kuhan Raj, 31, mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Majistret di sini kerana mengakibatkan kematian Nur Naura.














