Gambar fail menunjukkan sebahagian stok bauksit yang digali di Felda Bukit Goh, Kuantan.

Rupa-rupanya bauksit curi…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Peneroka Felda Bukit Goh termasuk tuan tanah yang terlibat dalam pengambilan bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah mendedahkan mereka tidak mengetahui pemunggahan hasil bumi tersebut dilakukan tanpa kebenaran.

Difahamkan, peneroka yang sudah lama kehilangan punca pendapatan berasa teruja kerana menyangkakan lesen pengeluaran bauksit dikeluarkan semula selepas melihat kenderaan berat mula membawa keluar hasil berkenaan.

Pengerusi Pertubuhan Gagasan 2 Generasi Kuantan, Jefri Salim berkata, kebanyakan penduduk beranggapan lori yang keluar masuk membawa stok bauksit mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Penduduk sangka kerajaan sudah meluluskan kerja-kerja mengeluarkan stok bauksit. Penduduk tahu (pengeluaran bauksit), tetapi tidak tahu hasil itu (bauksit) dicuri.

“Yang mereka tahu tauke beri­tahu ada lesen untuk pembersihan ‘stockpile’ bukannya untuk kerja-kerja korek baharu,” kata­nya semalam.

Menurut Jefri, kebanyakan penduduk juga tidak mengetahui prosedur perlombongan bauksit dan ketetapan terkini kerajaan negeri mengenai status perlombongan nadir bumi tersebut.

Sebelum ini, Kosmo! mela­porkan seorang pegawai agensi kerajaan negeri ditahan selepas dipercayai menerima sogokan daripada sebuah syarikat untuk memunggah keluar bauksit Bukit Goh tanpa mengikut prosedur yang sah.

Turut diberkas dua individu berhubung siasatan kes sama.

Tangkapan ke atas mereka dilakukan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) me­lakukan risikan setelah menerima maklumat mengenai kegiatan yang dilakukan sejak tahun 2022.

Siasatan mendapati pegawai agensi itu menerima sejumlah wang bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik syarikat berkenaan.

Selain tangkapan, SPRM turut menyita wang tunai RM26,000 dan tiga buah telefon bimbit daripada suspek untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Susulan tangkapan itu, kerajaan negeri mengalu-alukan tindakan SPRM menggempur kegia­tan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengan­dungi bauksit tanpa prosedur yang sah di Felda Bukit Goh.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM berhubung perkara tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN