PUTRAJAYA – Jabatan Insolvensi mendedahkan Selangor serta Johor menjadi negeri terbanyak individu diisytiharkan bankrap dalam tempoh empat tahun apabila gagal menjelaskan hutang dengan had minimal sejumlah RM100,000 dan ke atas.
Ketua Pengarahnya, Datuk M. Bakri Abd. Majid berkata, antara 2020 hingga September lalu, sebanyak 24,786 orang bankrap di Selangor dan 21,941 di Johor.
Katanya, ia diikuti Wilayah Persekutuan (18,862), Pulau Pinang (16,533) Perak (10,398), Sarawak (8,975), Kedah (7,730), Negeri Sembilan (4,862) dan Pahang (4,279).
“Kes bankrap yang belum dilepaskan mencecah 145,921 kes. Individu berumur antara 35 hingga 44 tahun paling ramai dikategorikan sebagai bankrap dengan jumlah keseluruhan 11,772 kes atau 39.2 peratus.
“Hampir 5,000 kes pula melibatkan mereka yang berusia antara 25 hingga 34 tahun.
“Kebanyakan kes melibatkan pinjaman peribadi (14,800), perniagaan (5,620), sewa beli kenderaan (2,791), pinjaman perumahan (2,323), hutang kad kredit (1,404) dan hutang lain (1,104),” katanya.
Menurut M. Bakri, mereka yang berumur antara 45 hingga 54 tahun menjadi kumpulan kedua paling ramai bankrap dengan 8,265 kes dalam tempoh sama.
Tambahnya, pekerja swasta paling ramai muflis dengan jumlah 9,651, sektor awam (3,606) dan bekerja sendiri (720).
“Sebab itu orang muflis perlu jalani program Dasar Peluang Kedua di mana setakat ini kita telah menyelesaikan 142,510 kes,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya golongan muda agar tidak terpengaruh dengan gaya hidup mewah hingga mengabaikan keperluan utama.
“Perbelanjaan yang tidak berhemah dengan mengutamakan kehendak yang tidak sewajarnya akan merugikan diri sendiri terutama kepada golongan muda,” katanya.
“Jangan dengar pihak ketiga atau sumber tidak sahih, maklumat salah akan menyebabkan mereka enggan ke Jabatan Insolvensi,” katanya.
















