PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola bertindak terlalu dramatik apabila membuat kenyataan seakan sudah menyerah kalah daripada perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun baru 11 perlawanan musim ini.
Ia susulan empat kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan dialami City sejak 2006 ketika kelab itu masih lagi dianggap ‘sarkas’ di bawah bimbingan Stuart Pearce.
Ia terbukti, lawan seperti Chesterfield, Charlton Athletic, Wigan, Reading, Blackburn Rovers, Portsmouth dan Bolton Wanderers boleh mengalahkan City yang ketika itu sekadar kelab pertengahan liga di kedudukan ke-14.
Setahun kemudian City dibeli mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang melantik Sven-Goran Eriksson sebagai pengurus sebelum pemilikan kelab bertukar tangan kepada Kumpulan Abu Dhabi United.
Kemudian barulah The Citizens mula mengecapi kejayaan demi kejayaan selepas beratus juta pound dilaburkan dengan membeli deretan pemain bintang dan jurulatih sehinggalah Guardiola dilantik pada 1 Februari 2016.
Bersama Guardiola, City berjaya memenangi enam gelaran EPL termasuk mempertahankannya selama empat musim berturut-turut dan paling diingati sudah tentu trofi pertama Liga Juara-Juara Eropah pada musim 2022/23.
Kehadiran Erling Haaland pada Mei 2022 melengkapkan koleksi trofi City dalam semua peringkat pertandingan apabila mereka berjaya menjuarai Piala Super Eropah dan Piala Kelab Dunia tahun lalu.
Ketika City dijangka mengekalkan dominasi musim ini, segalanya berubah selepas pemain tengah, Rodri yang juga pemenang Ballon d’Or 2024 terpaksa direhatkan semusim ekoran kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).
City kemudian dilanda krisis kecederaan serius sehingga dilaporkan hanya mempunyai 13 pemain senior yang benar-benar cergas baru-baru ini.
Tanpa ramai pemain utama, City ‘runtuh’ apabila mula tewas kepada lawan tidak sepatutnya seperti Tottenham Hotspur, Bournemouth, Sporting Lisbon dan terbaharu Brighton hanya dalam tempoh kurang dua minggu.
Ia sekali gus mencalarkan reputasi dibina Guardiola sejak memulakan karier kejurulatihan pada 2007, sesuatu yang tidak pernah dirasai bersama Barcelona dan Bayern Munich.
Sebenarnya, rekod buruk itu mampu berterusan seandainya City terus dilanda masalah ‘luar biasa’ memandangkan mereka bakal berdepan tiga aksi sukar selepas ini dengan bertemu Spurs, Feyenoord dan Liverpool.
Ia mampu terjadi kerana berdasarkan statistik, City hanya merekodkan 58.3 peratusan kemenangan tanpa Rodri dalam kesebelasan utama selain kelemahan mereka juga terutamanya di sebelah kanan sudah mula terdedah.
Pasukan pencabar terutamanya Liverpool yang kini sudah memenangi 15 daripada 17 perlawanan musim ini selain berkelebihan lima mata di puncak EPL, seharusnya memanfaatkan situasi keemasan ini.
Jika City terus dirundung prestasi, tidak mustahil Guardiola akan meninggalkan kelab itu di penghujung musim memandangkan banyak pasukan berminat menyambarnya hingga turut dikaitkan dengan jawatan di Brazil.
Disebabkan itu, kenyataan Guardiola mengibarkan bendera putih sebenarnya lebih dilihat psikologi untuk mengurangkan tekanan dihadapi pasukannya dalam usaha mereka bangkit kembali ke landasan sepatutnya.














