fbpx

Pelaburan Paddy Jewellery: Lelaki didakwa menipu lebih RM300,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosdi ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh Ahmad Iqbal Rosli/Kosmo!

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu dan menerima deposit tidak sah bagi pelaburan “Paddy Jewellery” berjumlah RM310,550.

Tertuduh, Rosdi Abdul Malek, 35, yang merupakan penolong pegawai penyedia makanan di sebuah hospital membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Rosdi didakwa menipu seorang wanita berusia 38 tahun dengan menawarkan skim pelaburan Paddy Jewellery yang tidak wujud dan memperdaya seorang lelaki berusia 47 tahun dengan membekalkan emas pada harga kurang daripada pasaran.

Perbuatan itu menyebabkan kedua-dua mangsa menyerahkan wang RM153,900 dan RM156,650 ke akaun Syarikat Paddy Jewellery.

Kesalahan dilakukan masing-masing di sebuah pangsapuri di Bandar Tun Razak dan sebuah hospital  pada Mei 2022 hingga 19 Ogos 2024. Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan juga denda.

Bagi satu lagi pertuduhan, Rosdi didakwa menerima deposit daripada wanita berusia 38 tahun dalam jumlah sama tanpa lesen sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 di pangsapuri sama pada 20 Februari hingga 28 Jun lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan dan menetapkan 10 Disember ini bagi sebutan semula kes.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd. Razak dan M. Saravanan, manakala Rosdi diwakili diwakili peguam Davey Wan Guan Hui.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan polis menerima sebanyak 69 laporan polis dengan kegiatan penipuan pelaburan emas ‘PA Jewellery’ dan ‘Paddy Jewellery’ dengan kerugian RM48.5 juta.

Siasatan awal mendedahkan skim pelaburan ini menawarkan lima pakej pelaburan yang berbeza dengan pulangan berdasarkan harga emas semasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI