RANTAU PANJANG – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan empat jenis tanaman hiasan orkid, bunga nanas, mayang sari dan bonzai dari Thailand bernilai RM2.52 juta selepas menahan dua buah lori di lokasi berasingan di Kampung Kubang Rambutan di sini dan Pasir Mas kelmarin.
Rampasan kesemua pokok-pokok itu dijalankan semasa anggota PGA menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, rampasan pertama dijalankan kira-kira pukul 8 malam selepas anggota PGA menahan sebuah lori jenis Hino di Kampung Kubang Rambutan di sini.
Menurutnya, lori tersebut pada awalnya dilihat dipandu oleh seorang lelaki berusia 32 tahun dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan ke atas lori itu kemudian menjumpai tanaman hiasan iaitu pokok Citharexylum Spinosum (mayang sari) dan Juniperus Chinensis (bonzai) yang dipercayai diseludup dari Thailand.
“Kesemua pokok yang bernilai RM510,000 itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, rampasan kedua pula dilakukan selepas anggota bertugas menahan sebuah jenis lori Hicom di Kampung Lubok Stol, Pasir Mas dekat sini kira-kira pukul 9.45 malam.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, lori dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun itu membawa tanaman hiasan jenis orkid dan Bromeliad (bunga nanas) yang dipercayai diseludup dari Thailand kerana tiada dokumen yang sah.
“Rampasan keseluruhan pokok-pokok itu dianggarkan bernilai RM 2.01 juta.
“Kedua-dua suspek yang ditahan dipercayai berperanan sebagai penghantar kepada semua pokok-pokok seludup itu untuk pasaran tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167). – KOSMO! ONLINE