PROJEK perumahan di Gombak, Selangor yang terbengkalai sejak 20 tahun lalu.

Rumah tak siap, tanggung hutang 30 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Rumah tak siap-siap, tetapi saya pula yang terpaksa menanggung hutang bank sebanyak RM300 sebulan selama 30 tahun.”

Itu luahan kekecewaan seorang pembeli rumah di Gombak, Selangor selepas projek perumahan tersebut terbengkalai begitu sahaja sejak 20 tahun lalu.

Zulkifli Ramli, 49, antara 300 pembeli rumah yang masih belum terbela nasib mereka walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk menuntut kembali hak termasuk mendapatkan bantuan kerajaan.

Menurut Zulkifli, dia membeli rumah jenis apartmen pada 2004 dengan harga RM102,500 dan bayaran bulanan pula sebanyak RM300.

“Sepatutnya rumah itu siap dalam tempoh tiga tahun, tetapi malangnya projek tersebut akhir­nya terbengkalai.

“Saya bersama 300 pembeli lain telah berjumpa dengan wakil pemaju dan juga jabatan kerajaan berkaitan, tetapi menemui jalan buntu kerana pemaju pula telah diisytiharkan muflis.

“Disebabkan itu, kami tidak mendapat pampasan sehingga kini kerana syarikat terbabit tiada sebarang aset untuk dicairkan,” katanya kepada Kosmo!.

Zulkifli berkata, lebih menyedihkan ada pembeli yang sudah meninggal dunia, tetapi kes tersebut masih belum selesai.

Katanya, dia juga hampir disenarai hitam kerana tidak mampu meneruskan pembayaran hutang dan ada di antara pembeli yang sudah disenarai hitam.

Sebahagian pembeli menunjukkan isyarat tidak puas hati selepas rumah yang dibeli mereka di Gombak masih terbengkalai sehingga kini.

Seorang pesara tentera, Zaidil Akbar Md. Said, 53, juga me­ngalami nasib sama apabila rumah yang dibelinya di kawasan Gombak, 20 tahun lalu masih terbengkalai.

“Pada 2004, saya beli rumah pertama jenis servis apartmen bernilai RM140,000, tetapi malangnya selepas setahun, projek itu tidak berjalan lancar.

“Saya dan pembeli lain dimaklumkan oleh bank bahawa hasil siasatan mendapati tuntutan yang dibuat oleh pemaju tidak seiring dengan kemajuan projek.

“Bayangkan sudah setahun, tetapi projek tidak ‘bergerak’ dan hanya tiang rumah yang naik sebelum pihak bank terpaksa menghentikan bayaran kepada pemaju,” katanya.

Tambahnya, sepanjang projek itu berlangsung, pihak Perbendaharaan meluluskan pinjaman rumahnya sebanyak RM57,750 dan dia perlu membayar hutang meskipun rumah terbengkalai.

“Kini selepas 20 tahun, tapak rumah itu telah dilitupi hutan dan pembeli dibebani hutang selama 30 tahun,” ujarnya.

Di Kuala Langat, seorang pembeli, Azli Sarham pula berkata, dia kecewa kerana rumah teres setingkat yang dibelinya di Pantai Morib empat tahun lalu yang sepatutnya siap pada Disember tahun lalu masih belum siap.

“Saya buat pinjaman bank RM198,000. Sehingga kini, saya masih bayar pinjaman itu lebih RM500 sebulan hampir 35 tahun walaupun rumah tidak siap.

“Malah, saya juga sudah bayar deposit untuk beli rumah ber­kenaan lebih RM10,000,” katanya.

Azli berkata, syarikat pemaju memberikan pelbagai alasan gagal menyiapkan projek termasuk disebabkan pandemik Covid-19 dan kekurangan pekerja.

“Hanya pihak kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat membantu kami,” tambahnya.

Pada Oktober lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, sebanyak 113 projek perumahan swasta terbengkalai meliputi 30,371 unit rumah dan 15,952 pembeli setakat 30 September lalu.

Daripada statistik itu, seba­nyak 72 projek terbengkalai dalam kategori rumah bertanah, 36 projek rumah strata dan lima projek rumah bercampur.

Bagaimanapun, sebanyak 14 projek perumahan swasta terbengkalai yang melibatkan 1,901 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM574.79 juta telah berjaya di­pulihkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN