fbpx

Juara bertahan aib di laman sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VINICIUS (tengah) menunjukkan reaksi kecewa selepas gagal membantu Real menewaskan Milan awal pagi tadi. - AFP

MADRID – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti mula risau dengan aksi hambar ditampilkan pasukan itu selepas tewas 1-3 kepada AC Milan pada saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.

Meskipun menguasai sebahagian besar permainan selain melakukan lebih banyak percubaan tepat, namun ketumpulan jentera serangan dan kerapuhan benteng pertahanan meranapkan impian Real untuk mengutip tiga mata penuh.

Justeru, Ancelotti menggesa pemain-pemainnya supaya kembali memberikan fokus bagi memastikan mereka berada dalam kelompok lapan terbaik, seterusnya mara ke pusingan kalah mati secara automatik.

“Kami wajar berasa bimbang dengan keputusan ini kerana pasukan tidak bermain seperti diharapkan. Saya fikir pasukan ini langsung tidak kemas, jadi kami perlu cari jalan untuk kembali menyusunnya.

“Real sudah melepaskan banyak gol kerana struktur yang tidak tersusun di atas padang. Kami perlu bekerja keras memperbaiki segala kelemahan yang ada kerana itu satu-satunya cara untuk bersaing dalam semua pertandingan,” katanya.

Pada perlawanan itu, Milan yang beraksi sebagai pasukan pelawat meledak tiga gol menerusi Malick Thiaw, Alvaro Morata dan Tijani Reijnders, manakala jaringan saguhati Real dijaringkan Vinicius Junior.

Dalam pada itu, dua pemain Los Blancos, Aurelien Tchouameni dan Kylian Mbappe berdepan situasi sukar apabila dicemuh penyokong sendiri ekoran aksi tidak menentu yang memberi kesan terhadap pasukan tersebut.

“Keadaan ini bukan disebabkan oleh individu kerana ia adalah aksi berpasukan, jadi kami perlu selesaikan masalah secara bersama. Kami perlu terima setiap kritikan yang dilemparkan,” ujar Ancelotti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN