fbpx
Para pengunjung mengambil kesempatan bergambar dengan hasil-hasil seni menarik.

Artober perkasa komuniti seni tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP karya seni yang dihasilkan pasti mempunyai harganya yang tersendiri sesuai dengan nilai, komitmen dan aspirasi di sebaliknya.

Begitu juga karya seni bertajuk Horizon Symphony nukilan pelukis Fadzril Fakarddin di mana karyanya yang dipersembahkan pada pameran CIMB Artober Art & Soul 2024, Kuala Lumpur itu bernilai RM12,800.

Mengulas tentang karyanya yang bernilai tinggi itu, Fadzril berkata, lukisan yang dihasilkannya itu merupakan satu imbasan terhadap sesuatu perkara yang dilihatnya.

“Subjek utama dalam karya ini adalah ombak dan saya gunakan warna kontemporari yang saya olah daripada imaginasi saya sendiri.

“Saya cuba persembahkan bagaimana pergerakan ombak dalam karya ini dan mahu orang ramai melihat perspektif warna yang saya guna untuk menghasilkan lukisan ini,” katanya kepada K2.

Jelasnya, karya itu menggunakan medium cat minyak yang dilakar di atas kanvas. Dia mengambil masa hampir sebulan bagi menyempurnakan karya tersebut untuk dipamerkan pada pameran tersebut.

Fadzril nyata teruja apabila berpeluang menyertai pameran CIMB Artober Art & Soul kali ini yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Manakan tidak, CIMB Artober Art & Soul merupakan pameran seni terbesar di Malaysia yang diadakan bagi mengetengahkan minda kreatif dan artistik Malaysia dengan lebih 1,000 karya seni menarik dipamerkan oleh lebih 100 artis seni diwakili oleh 20 galeri tempatan termasuk Taksu, Sareng, Segaris, Galeri Puteh dan banyak lagi.

Acara tahunan yang dianjurkan CIMB Group Holdings Berhad bagi meraikan seni, budaya dan gaya hidup itu bermatlamat untuk menyokong dan memperkasa komuniti seni tanah air seterusnya meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab seni dan budaya bertaraf dunia.

“Saya rasa bersyukur kerana berpeluang untuk menyertai satu pameran seni yang turut disertai oleh artis senior dan juga mentor saya dalam bidang ini.

“Pameran seni ini membuka peluang untuk setiap artis menonjolkan bakat mereka dengan menghasilkan karya-karya yang bernilai tinggi,” ujarnya.

Orang ramai menghayati karya-karya seni yang dipamerkan.

Kongsi Fadzril lagi, dia berdepan cabaran untuk menghasilkan lukisan dengan lapisan-lapisan cat minyak itu terutama dalam memastikan setiap lapisan cat minyak kering.

“Disebabkan itu saya mengambil masa hampir satu bulan untuk menyiapkannya.

“Cabaran lain yang dihadapi adalah untuk memikirkan bagaimana menghasilkan visual bagi menyampaikan kepuasan peribadi dengan mengingati kembali apa yang saya lihat,” jelasnya.

Pameran sebegini menjadi program yang dinantikan para peminat seni dan boleh dianggap salah satu pameran seni yang gah. Pelancaran CIMB Artober baru-baru ini bahkan telah disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Selain 1,000 karya seni oleh lebih 100 seniman, pameran seni ini juga mempamerkan 30 karya seni penting oleh The AFK Collection iaitu koleksi berkualiti hasil kerja generasi pertama artis kontemporari Malaysia yang didedikasikan untuk memelihara dan mendokumentasikan seni kontemporari di negara ini.

Turut dipersembahkan karya seni transformatif Fauzan Omar, salah seorang artis kontemporari yang disegani di Malaysia.

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Mohd. Nasir Ahmad berkata, CIMB Artober Art & Soul telah dibuktikan menjadi penggerak ekonomi yang penting untuk ekosistem seni Malaysia dengan menjana lebih RM15 juta setakat ini dan memanfaatkan sekurang-kurangnya 200 artis sejak tiga edisi diadakan.

Menurutnya, pameran seni ini telah meraih ikutan ramai, mendapat sambutan yang kukuh dan mempunyai jumlah pengunjung yang lebih besar.

“Kami berharap agar legasi Artober dapat diteruskan bagi menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi artis dan pereka fesyen tempatan.

“Dijalankan seiring sambutan 100 tahun sejarah CIMB, ia merupakan penghargaan mendalam untuk bidang seni yang membuktikan komitmen kami untuk mengukuhkan ekosistem seni dan budaya Malaysia,” katanya.

Tambahnya, CIMB yakin terhadap seni sebagai nadi kepada pemeliharaan budaya dan pembentukan komuniti, selain dilihat penting dalam meningkatkan ekonomi kreatif tempatan.

Malah, mereka juga berbangga kerana dapat memainkan peranan dalam menyediakan akses kepada seni buat pengunjung yang lebih besar, memacu reputasi awal Kuala Lumpur sebagai pusat seni terkemuka di Asia Tenggara.

Sementara itu, Pengurus Besar Segaris Art Center, Afidatul Aisyah Ahmad berkata, CIMB Artober merupakan satu pameran yang sangat bagus untuk pemain industri seni membina jaringan dan juga mendapatkan pendedahan.

Menurutnya, melalui pameran itu, galeri seni berpeluang mempamerkan karya-karya artis dari semua peringkat iaitu dari muda hinggalah senior.

“Kita bukan hanya membawa artis muda tetapi kami menggabungkan artis-artis muda, pertengahan dan juga senior.

“Malah untuk artis senior kita bawakan satu pameran khas buat Awang Damit Ahmad dan kita pamerkan perjalanan kariernya dari awal sehingga sekarang,” jelasnya.

Untuk pameran seni itu, Segaris Art Center membawa tujuh artis yang menghasilkan lebih 70 karya. Antara artis yang diwakili oleh Segaris Art Center untuk pameran itu termasuk Fawwaz Sukri dan Syahwan Rahim.

Jelas Afidatul Aisyah, pameran ini juga memberi peluang kepada artis menaikkan lagi nilai karya mereka.

“Pameran ini tidak ‘terbatas’ dari segi saiz atau jenis karya dan kita boleh pelbagaikan di sini.

“Secara umum di pameran seni ini harga karya akan dinaikkan sedikit dan secara tidak langsung membantu artis-artis untuk menaikkan harga karya mereka,” terangnya.

Malah, sempena CIMB Artober juga Afidatul Aisyah menyasarkan untuk menghasilkan jualan sebanyak RM1.5 juta bagi keseluruhan karya yang dibawa oleh mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN