fbpx
Senaman Go Bhangra kini semakin meluas dipraktikkan di Johor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Gabungan tarian bhagra, Bollywood dalam rutin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK di bangku sekolah, wanita berketurunan Cina itu sudah mempunyai minat terhadap tarian dalam filem-filem hindustan dan mahu mengikuti tarian tersebut. Namun, kerana perlu mengutamakan pelajaran seterusnya membina karier serta menguruskan keluarga setelah berkahwin, minat tersebut terpaksa diketepikan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, selepas mencecah usia 40-an, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Arale itu tidak menyangka bahawa minat yang dipendam sejak sekian lama akhirnya dapat direalisasikan.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, hal tersebut membuatkan dia sangat gembira kerana sebelum ini dia hanya mampu berangan untuk menari terutama semasa melihat aktiviti itu dilakukan dalam adegan filem.

“Memang sejak kecil saya suka menari, namun terpaksa saya pendam kerana tuntutan kehidupan, tetapi selepas anak-anak meningkat dewasa saya cuba menyertai aktiviti tersebut yang pada awalnya menjadi hobi masa lapang.

“Kalau dulu tengok orang menari di televisyen atau filem, saya akan mula berangan menjadi penari tetapi sekarang saya bukan sahaja melakukannya sebagai hobi tetapi juga sebagai jurulatih,” kata Arale, 42, kepada Panorama.

Tambahnya, meskipun dia berketurunan Cina, dalam banyak tarian yang disukai, wanita itu amat menggemari tarian-tarian dalam filem Bollywood.

Malah, aktiviti tarian yang disertai oleh Arale juga berkait industri filem berbahasa hindi popular di India itu, namun dalam bentuk yang berbeza.

Kongsi wanita asal Kuala Lumpur itu, dua tahun lalu di usia 40 tahun, dia sebenarnya mencuba pelbagai aktiviti kelas senaman berkumpulan seperti aerobik, zumba dan lain-lain.

Sehingga dia menjumpai satu bentuk senaman baharu di laman sosial Facebook yang diinspirasikan daripada gabungan tarian tradisi orang Punjabi iaitu bhangra dan tarian-tarian Bollywood.

Dikenali sebagai rutin senaman Go Bhangra Workout, Arale kemudian mencubanya buat kali pertama dan terus jatuh cinta.

“Go Bhangra adalah gabungan senaman dan tarian yang menjadi satu rutin bukan sahaja untuk membakar kalori tetapi membina kecergasan. Ia juga mudah dipelajari.

“Sejak kali pertama mencubanya, saya terus jatuh cinta dan kemudian menjadikannya sebagai aktiviti masa lapang sebelum melakukannya secara serius dan kini menjadi jurulatih sepenuh masa,” ujarnya.

Go Bhangra Workout ialah program kecergasan tarian kardio berinspirasikan tarian bhangra dan Bollywood menggunakan pelbagai koreografi dengan muzik ceria.

Diasaskan pada tahun 2018, senaman ini memfokuskan kepada meningkatkan stamina, memberi kekuatan kepada kumpulan otot utama dan menambah sedikit kelenturan badan.

Senaman itu berjaya menarik orang ramai daripada pelbagai kaum di Malaysia.

Menurut pengasasnya, Jasveen Kaur yang berasal dari Johor Bahru, senaman Go Bhangra terhasil daripada minatnya terhadap aktiviti kecergasan serta pengalaman dalam seni tari bhangra dan

Bollywood sejak di bangku sekolah.

“Sejak usia 10 tahun, saya sudah mula menyertai kumpulan menari tarian bhangra dan membuat persembahan di pelbagai majlis dan acara.

“Apabila meningkat dewasa, saya mula meminati aktiviti kecergasan selepas menghadiri kelas kecergasan berkumpulan sebagai cara untuk menjaga kesihatan diri, hobi serta menjadi pengajar sejak 2008,” kongsinya.

Katanya lagi, sebelum wujudnya Go Bhangra, Jasveen menjadi jurulatih aktiviti aerobik dan zumba yang kemudian membuahkan ilhamnya untuk mencipta rutin sendiri.

Menerusi pengalaman yang ada dia kemudian mencipta Go Bhangra dan mengajarnya kepada orang ramai pada tahun 2010.

Walaupun rutin senaman tersebut sangat baharu pada ketika itu, ia berjaya menarik minat ramai peminat kecergasan selepas mula diajar di beberapa studio dan gimnasium sekitar Johor secara sambilan.

Sehinggalah pada tahun 2016 apabila Jasveen menubuhkan studio sendiri iaitu Just Fit Studio dan menjadi pusat senaman Go Bhangra di Malaysia.

“Senaman ini saya cipta dengan mengambil gerakan dalam kedua-dua tarian dan disesuaikan dalam rutin senaman berdasarkan garis panduan kecergasan Athletics and Fitness Association of America (AFFA).

“Penyesuaian ini dilakukan secara berperingkat kerana pada awalnya saya mengajar tarian itu dalam bentuk tarian asal dan kemudian mengubahnya dalam bentuk senaman,” jelasnya yang juga merupakan pelajar tahun akhir pengajian doktor falsafah dalam bidang kesihatan dan kecergasan.

Jasveen yang turut melakukan kajian memfokuskan aktiviti fizikal wanita, Go Bhangra direka bagi membolehkan orang ramai daripada pelbagai lapisan umur untuk melakukannya meskipun individu tersebut tidak mempunyai latar belakang sebagai penari.

Setiap rutin merupakan gerakan yang telah dipermudah daripada tarian tradisional seperti bhangra yang asalnya lebih lincah mengikut rentak lagu dan mempunyai lebih banyak pergerakan kaki.

Sebagai contoh dalam gerakan tradisional tarian bhangra, penari akan mengangkat kaki dan tangan pada kedudukan 90 darjah atau lebih tinggi tetapi untuk senaman Go Bhangra, ia direndahkan kepada 40 darjah dan ke bawah.

Kongsi Jasveen lagi, bagi menjadikan rutin lebih menyeronokkan dan berkait dengan kebiasaan orang Malaysia, senaman tersebut digabungkan dengan penggunaan lagu latar serta gerakan tarian Bollywood misalnya peserta akan bergerak dalam bulatan secara berkumpulan sambil diiringi lagu hindustan.

“Oleh demikian, untuk menjelaskan rutin ini, ia dinamakan program kecergasan tarian kardio inspirasi bhangra dan Bollywood.

“Gabungan ini bukan hanya memfokuskan kecergasan tetapi juga menggamit memori buat mereka yang membesar dengan filem-filem Bollywood dan menyanyi lagu-lagunya sambil menjalankan rutin harian,” katanya lagi.

Pergerakan senaman Go Bhangra juga terbahagi kepada gerakan mengikut peringkat kompleks dari tahap satu hingga tiga yang dilakukan mengikut kesesuaian lagu.

Satu sesi kelas Go Bhangra akan dijalankan selama satu jam dan boleh membakar sebanyak 500 kalori minimum.

Selain mengajar kelas Go Bhangra, Jasveen turut membuka peluang kepada orang ramai untuk mempelajari rutin senaman ini secara serius untuk menjadi jurulatih sepertinya.

Mempunyai peserta dari pelbagai kaum, kini Go Bhangra mempunyai 23 jurulatih di Johor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN