fbpx
TINDAKAN isteri berkongsi hal rumah tangga di media sosial sering memberi gambaran buruk kepada suami dan institusi perkahwinan. – GAMBAR HIASAN

Isteri ‘telanjangkan’ hal rumah tangga di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – “Saya tertekan dengan sikap isteri yang suka berkongsi hal rumah tangga termasuk aib diri ini di media sosial. Punca gaduh perkara remeh sahaja tetapi tulisannya beri gambaran macam kami gaduh besar, sudahnya ramai ‘penasihat’ komen dan kecam.”

Demikian luahan seorang ­kakitangan awam dikenali Hairi, 30, yang tertekan dengan kelakuan isterinya berusia 26 tahun yang gemar berkongsi hal rumah tangga di media sosial sejak awal perkahwinan.

Katanya, isu-isu yang mencetuskan pergaduhan kecil dengan isteri adalah perkara remeh dan boleh diselesaikan jika mereka berbincang dengan baik.

“Kadang-kadang hanya kerana saya kurang masa dengannya seperti keluar makan atau jalan-jalan di pusat beli-belah sebab sibuk bekerja, dia kata saya sudah tidak mahu layan dia sehingga merajuk.

“Walaupun remeh, dia tetap mahu berkongsi luahan pe­rasaannya itu termasuk de­ngan cara berkias atau berkongsi video berkaitan di media sosial. Bila sudah sampai ke media sosial, ramailah kawan-kawannya beri komen yang rata-ratanya tanggapan buruk kepada saya,” ujarnya.

Menurutnya, kadang kala perselisihan faham yang timbul sudah diselesaikan antara mereka, namun dia terkejut apabila isterinya tetap berkongsinya di media sosial.

“Nampak saya yang buruk dan bersalah dalam semua hal, saya pun tidak tahu kenapa dia suka buka cerita rumah tangga. Saya ada menasihatinya agar berhenti jaja masalah di media sosial, namun hanya sementara sahaja.

“Sepanjang lima tahun perkahwinan, itulah perkara pa­ling memberi kesan dalam hidup saya. Buat masa ini saya masih boleh bertahan demi anak yang masih kecil,” jelasnya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Anwar, 26, berkata, isterinya pula sering berkongsi kata-kata sedih seolah-olah berlaku pergolakan dalam rumah tangga mereka.

“Walaupun hanya kata-kata, ia beri gambaran saya suami yang bermasalah. Dalam ruang komen, kawan-kawannya berta­nya apa yang berlaku antara kami, malah ada yang bertanya sama ada kami sudah bercerai.

“Saya malu dengan kawan-kawan serta mak ayah di kampung. Mereka juga ada tanya tentang status hubungan kami dan menasihatkan saya supaya berubah jadi suami yang baik,” luahnya.
Tambahnya, perselisihan faham disebabkan hal remeh boleh menjadi pergaduhan besar apabila isterinya berkongsi tentang perasaannya di media sosial.

“Bila saya tegur perbuatannya yang suka tulis dan kongsi kata-kata sedih di media sosial termasuk menggambarkan rumah tangga kami di ambang perceraian, dia melenting dan merajuk,” katanya yang bercadang untuk mendapatkan khidmat kaunseling daripada pejabat agama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN