Move on, mudah diperkatakan tetapi sukar dilakukan.
Satu ikatan yang telah lama terpatri, mana mungkin dilupakan dalam sebulan. Kenangan yang dicipta pasti menjadi bayangan.
Dalam kehidupan banyak perkara terkait dengan move on antaranya apabila terpaksa berhenti kerja sedangkan hati telah terpaut ketat, sukar untuk mereka reda dan berjalan terus.
Semuanya berkait masa. Cepat atau lambat jika tidak boleh berpatah balik ke tempat asal, maka ‘lepaskan’ sajalah cara terbaik.
Move on dalam kisah pelajaran, sudah gagal takkan mahu terus dalam titik terendah itu sebaliknya bangun dan mengorak langkah untuk menukar rasa kecewa kepada kejayaan.
Kisah rakan penulis yang tabah dan move on dengan hubungan suami isteri meninggalkan kesan di hati. Dia berpisah dengan tanggungan lima orang anak. Kisahnya diketahui apabila memberi bayangan kini hidup sebagai ibu tunggal.
Tidak bercerita aib pasangan, tekun mendengar kisah reda dan jalan terus yang dipilih ibu muda ini. Mujur dia ada kerjaya, mampu menanggung kehidupannya dan anak-anak.
Luahnya, masa akan mengubati segalanya. Begitulah jika di dalam situasi berkenaan, pasti ayat dikeluarkan persis novel e-book berlambak di pasaran TikTok.
Kebelakangan ini banyak kisah perceraian dilaporkan. Tidak mengapalah kalau dua hati tidak mampu mengukir bahagia tetapi yang tidak enak adalah saling berbalas kata-kata di media sosial.
Lumrah dalam dunia moden, segalanya dikongsi di media sosial, luah rasa gembira, hiba dan benci. Sikit-sikit muat naik di TikTok, Instagram.
Marah dan tidak puas hati, jari lebih laju bertindak berbanding akal fikiran. Mahu tegur pasangan pun tidak perlu canang sampai satu Malaysia tahu.
Berpisah cara baik sebab itu lagi mahal.
Menurut Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman, suami isteri yang membuka aib pasangan masing-masing sama ada sebelum atau selepas bercerai adalah haram.
Jelasnya, setiap individu perlu mempunyai sikap saling menghormati walaupun selepas bercerai selain perlu menjaga maruah dan air muka bekas pasangan.
Natijahnya daripada semua ini besar kemungkinan apabila anak-anak menjadi mangsa, mereka membaca setiap apa diluahkan di media sosial yang kekal di situ.
Kisah di sebalik penceraian bukanlah tiket atau jalan bagi setiap pasangan berkongsi aib satu sama lain.
Kawal diri dan emosi. Tidak perlu dihebohkan sebab atau punca keretakan. Diam-diam sahaja.
Tidak semua yang terjadi adalah suatu pengakhiran. Kadangkala ia juga permulaan buat satu kehidupan yang lebih lengkap dan indah.
Lebih baik belajar menerima dan memperbaiki. Cerai, move on sajalah!














