Dalam dunia moden hari ini, impian memiliki rumah seringkali disinonimkan dengan kestabilan ekonomi dan pencapaian karier seseorang.
Orang muda yang baru menapak dalam alam pekerjaan, realiti sektor hartanah kini semakin menjauhkan mereka daripada impian itu. Kenaikan harga rumah membuatkan ramai anak muda
terpaksa memikirkan semula matlamat jangka panjang mereka.
Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizuddin Nooh, terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan harga rumah seperti permintaan tinggi, kekurangan penawaran dan kos pembinaan melambung.
“Dalam kawasan bandar, pertumbuhan populasi dan urbanisasi yang pesat menyebabkan permintaan untuk rumah melebihi penawaran yang ada.
“Kekurangan rumah mampu milik juga menjadi salah satu sebab utama mengapa anak muda semakin sukar untuk memiliki kediaman sendiri.
“Projek-projek perumahan dibangunkan di kawasan utama seringkali disasarkan kepada golongan berpendapatan lebih tinggi, meninggalkan golongan muda di luar radar pembeli yang mampu bersaing dalam pasaran hartanah,” katanya.
Tambah Noorizuddin, dalam konteks ekonomi semasa, inflasi dan kos hidup yang semakin meningkat turut menjadi penghalang besar.
Ujarnya, inflasi berterusan menambah beban kepada anak muda yang terpaksa menguruskan keperluan harian seperti makanan, pengangkutan dan sewa rumah.
Dalam situasi ini, ramai anak muda berdepan dilema sama ada terus menyimpan atau menangguhkan hasrat tersebut buat sementara waktu
“Dengan pendapatan tidak seiring lonjakan harga rumah, kebanyakan mereka sukar mengumpulkan jumlah yang mencukupi bagi membayar deposit dan ansuran bulanan yang lebih tinggi.
Akhirnya, ramai terpaksa menyewa.
Dalam situasi semasa, saranan Noorizuddin kepada anak muda adalah untuk menguruskan kewangan mereka dengan berhati-hati.
“Mereka perlu membuat pelan kewangan yang rapi, menetapkan bajet bulanan dan menyimpan untuk bayaran pendahuluan rumah selain mencari sumber pendapatan tambahan,” nasihatnya.
Paling utama kata Noorizuddin, penting bagi anak muda untuk memahami bahawa membeli kediaman sendiri bukanlah satu keperluan yang harus dikejar secara terburu-buru.
“Mereka perlu menilai keadaan kewangan dengan teliti sebelum membuat keputusan besar seperti membeli rumah. Membina asas kewangan kukuh adalah langkah pertama paling penting.
“Akhirnya, keputusan sama ada membeli rumah atau terus menyewa adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan dengan teliti berdasarkan situasi kewangan individu,” tuturnya.
Ada sinar di hujung terowong, Noorizuddin percaya meskipun cabarannya besar, dengan perancangan kewangan, pendapatan tambahan dan pemahaman mendalam tentang pasaran hartanah, impian memiliki rumah tidak mustahil untuk dicapai.
“Realiti ekonomi mungkin suram, namun dengan strategi yang betul, anak muda masih boleh menjejakkan kaki ke pintu rumah sendiri suatu hari nanti,” katanya.














