KUALA TERENGGANU – Peningkatan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2005 kelmarin akan dimanfaatkan sebaiknya bagi perbelanjaan harian dan kegunaan kecemasan sahaja.
Seorang pembantu kedai makan, Nur Ainul Afiqah Abdul Musa, 43, berkata, dia mahu berjimat cermat wang STR untuk kehidupan lebih selesa.
“Saya tiada hasrat hendak beli perabot, pakaian baharu atau motor, paling penting pastikan barangan dapur sentiasa cukup untuk saya dan tiga anak.
“Sebaik sahaja wang itu diterima, saya juga akan simpan sebahagian untuk kegunaan waktu sesak,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) ditingkatkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini pada pembentangan Belanjawan 2025 kelmarin.
Pemberian sumbangan tunai tersebut bakal memanfaatkan sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk negara ini.
Seorang mekanik bengkel kenderaan pula, Muhammad Tarmizi Abdul Wahab, 39, pula berkata, STR yang bakal diterima akan digunakan sebagai duit belanja persekolahan empat anaknya.
“Zaman sekarang tidak boleh membazir kerana ekonomi tidak menentu, saya pastikan STR digunakan untuk perkara mustahak sahaja,” katanya.
Dalam pada itu di Pulau Pinang, seorang penjawat awam lantikan kontrak, Muhammad Al’Lias Che Rahim, 24, berkata, jumlah sumbangan STR bagi golongan bujang adalah yang paling besar yang diterimanya sejak tiga tahun lalu.
“Wang RM600 akan dibelanjakan sebaik mungkin. Bayangkan, sehari saya membelanjakan paling minimum sebanyak RM20 untuk beli makanan dan makanan setiap kali keluar bekerja.
Sementara itu, seorang lagi penjawat awam yang merupakan penerima STR kategori isi rumah, Nor Juliana Sarip, 42, berkata, dia menarik nafas lega apabila kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700 sebelum ini.
“Wang tersebut sekurang-kurangnya dapat mengurangkan bebanan saya dan suami dalam menguruskan perbelanjaan sekolah lima anak yang masih bersekolah dan persiapan raya tahun depan.
















