BOLEH disimpulkan jika ingin lihat kebaikan rakyat Malaysia, lihatlah di jalan raya. Orang kata andai mahu melihat keburukan, lihat juga di atas jalan raya. Kenapa penulis berkata demikian?
Adalah menjadi gambaran biasa apabila berlaku kenderaan rosak di tepi jalan ramai berhenti untuk memandu terutama penunggang motosikal. Pantang penunggang atau pemandu lain mengalami ‘kecemasan’ merekalah yang pertama akan menolong.
Sikap negatif segelintir individu ketika menggunakan jalan raya juga mampu kita jadikan iktibar. Seburuk-buruk perbuatan yang dilihat penulis adalah situasinya begini. Seorang penunggang motosikal ini kemalangan hingga cedera.
Berikutan perlu mendapatkan rawatan segera, dia dibawa dengan ambulans ke hospital. Motosikal mangsa yang rosak pula ditinggalkan di tepi jalan. Apa yang dikesalkan, hari berikutnya apabila penulis lalu, motosikal tersebut sudah dileraikan.
Maksudnya begini, entah malaun manakah yang mengambil bahagian-bahagian di motosikal tersebut. Andai rimnya masih elok, esoknya hilang.
Hari ini hilang rim, esok hilang ‘cover set’, lusa pula habis ‘togel’ motosikal tersebut, hanya tinggal casis.
Sampai terbongkang-bangking bergelimpangan. Melalui perkara ini terdapat 1,001 pengajaran yang diperolehi. Jahatnya perbuatan manusia-manusia ini.
Sudahlah mangsa perlu mendapatkan rawatan akibat kemalangan. Harta benda pula habis kena kebas.
Baru-baru ini tular di media sosial, keterujaan seorang kanak-kanak berkongsi hadiah kasut baharu di TikTok bertukar penghinaan.
Jijik betul penulis lihat sikap netizen bermulut ‘tinja’ ini. Diejek kononnya kasut itu tiruan, harga sekian-sekian.
Padahal kasut itu hadiah hari jadi daripada seorang ibu. Hikmah di sebalik sesuatu kejadian itu siapa yang tahu. Penulis bangga dengan orang Malaysia.
Ramai bermurah hati ‘belanja’ adik tersebut dengan kasut sukan baharu. Nampaknya kebaikan menang lagi sekali.
Selagi bergelar manusia usahlah berjalan di atas muka bumi ini dengan sifat angkuh dan sombong. Tidak ke mana pun. Allah SWT tidak menyukai golongan ini.
Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah seorang mukmin yang sempurna, yang suka mencaci, mengutuk, berbuat dan berkata kotor.” Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Tirmidzi.
Menurut Imam Ghazali, yang paling tajam dalam dunia adalah lidah manusia.
Jadi peliharalah mulut daripada lapan dosa ini iaitu mungkir janji, dusta, mengumpat, menghina, melaknat, memuji diri sendiri, banyak berbicara atau bertengkar dan mendoakan keburukan sesama makhluk.
Imam Ghazali juga berwasiat, bertengkar mulut dengan orang bodoh akan menimbulkan musuh yang sentiasa menjengkelkan hati, sementara bertengkar dengan orang arif, dia akan menghina dan menindas kamu.
















