Menghormati pasangan walaupun selepas bercerai merupakan satu kewajipan. - GAMBAR HIASAN

Haram buka aib pasangan sebelum, selepas cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Suami isteri yang membuka aib pasangan masing-masing sama ada sebelum bercerai mahupun selepas berpisah adalah haram di sisi Islam.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, setiap individu sebaliknya perlu mempunyai sikap saling menghormati walaupun selepas bercerai selain menjaga maruah dan air muka bekas pasangan.

Menurut beliau, umat Islam juga diajar agar menutup aib orang lain dan tidak mendedahkannya kecuali kepada pihak berkuasa atau pihak yang bertanggungjawab seperti mahkamah untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

“Rasulullah bersabda maksudnya: Siapa yang menutup aib seorang muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Dan Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya (Riwayat Muslim).

“Hal dalam rumah tangga atau ‘hal dalam kain’ tidak boleh dikongsi di khalayak ramai apatah lagi di media. Ia perlu dijadikan iktibar dan panduan dalam kehidupan masing-masing,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Tambah Dr. Mohd Sukki, perbuatan membuka aib pasangan di khalayak sehingga menjadi tontonan ramai juga sangat tidak wajar dilakukan bagi mana-mana individu.

“Kalau nak tegur, biarlah ia melalui teguran dan nasihat yang membina dan sopan. Ini akan dapat melahirkan suasana hidup yang harmoni dan sejahtera.

“Tidak ada orang di dunia ini selain nabi dan rasul yang tidak berdosa, dan tidak ada orang yang tidak melakukan kesilapan. Cuma bezanya, banyak atau sedikit, besar atau kecil dan bersembunyi atau terang-terangan,” ujarnya.

Justeru katanya, mereka yang menghayati nilai ajaran Islam akan memandang aib yang ada pada dirinya dan sentiasa bertaubat serta membetulkan kesilapan-kesilapan lalu.

“Dia juga akan menutup keaiban orang lain apatah lagi seseorang yang pernah menjadi pasangan hidupnya,” tambahnya.

Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihati suami isteri supaya mengelakkan daripada mengungkit keaiban atau kekurangan pasangan terutama selepas perpisahan.

Malah katanya, Islam turut mengajarkan untuk melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang perkahwinan.

“Ini kerana ketika cinta masih ada, segala kekurangan tidak dihiraukan, namun ketika pera­saan berubah, kekurangan yang kecil sekali pun menjadi hal yang diangkat-angkat.

“Justeru setelah berpisah, beri­lah ruang untuk masing-masing memulakan kehidupan baharu dengan cara yang lebih baik, tanpa menyimpan dendam,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, dalam perjalanan perkahwinan, tidak dinafikan wujudnya badai dan ombak yang kadangkala menguji kekuatan sesebuah hubungan.

“Setiap pasangan pasti pernah melalui cabaran ini. Namun, Islam mengingatkan bahawa meskipun perceraian itu dibenarkan, ia adalah perkara paling dibenci oleh Allah dalam kala­ngan yang halal.

“Oleh itu, sewajarnya menjadi pilihan terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki kea­daan telah dilakukan. Jika perpisahan itu tidak dapat dielakkan, Islam mengajar kita untuk melepaskan pasangan dengan cara yang baik dan penuh ihsan.

“Hendaklah kita fahami dan amalkan apa yang diperintahkan oleh Allah berkenaan dengan talak. Sikap ini penting agar tidak mencalarkan maruah mana-mana pihak serta memastikan hak-hak suami dan isteri tetap terjaga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN