PETALING JAYA – Generasi muda ketika ini lebih gemar memilih apa yang mereka suka berbanding kemampuan sehingga terjebak dengan beban hutang yang terlalu tinggi.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizuddin Nooh berkata, keadaan itu menyebabkan golongan itu bergantung kepada kaedah berhutang untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Mereka juga cenderung untuk memilih jalan pintas dalam menguruskan keperluan seperti kenderaan dan rumah. Generasi sekarang dilatih dalam keadaan berbeza.
“Mereka tak mahu mengikuti proses yang lambat. Jika sebelum ini, kita ada peringkat contohnya dengan mengambil kereta yang murah dahulu barulah kita naik taraf ke kenderaan yang lebih baik.
“Generasi sekarang, mereka lebih gemar memilih apa yang mereka suka berbanding apa yang mereka mampu. Berdasarkan kajian mengenai kenderaan yang graduan pilih, ramai didapati memilih Toyota Vios yang mana harga mencecah RM88,000,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau berkata, masalah tersebut juga berpunca daripada ‘peer pressure’ atau tekanan keadaan sekeliling menyebabkan ramai yang berbelanja besar.
“Ini satu perkara yang dahulu mungkin kurang. Peer pressure sekarang amat kuat. Pucuk pangkalnya, kita harus melihat kepada kehendak dan keperluan,” jelasnya.
Katanya, kos sara hidup juga memainkan peranan penting terutama untuk generasi belia yang menetap di bandar besar.
“Sebagai contoh, graduan yang berasal dari kampung berhijrah ke Kuala Lumpur, Johor Bahru atau Pulau Pinang kerana taburan industri lebih tertumpu di bandar besar. Jadi, bila kita menetap di bandar, kos adalah terlalu mahal,” tambahnya.
Katanya, akses kepada kewangan yang dibuka dengan meluas sejak 2020 juga telah menyumbang kepada permasalahan itu.
“Kalau kita lihat semula dari 2020 hingga 2023, akses kepada sistem kewangan amat mudah. Maknanya bank mudah untuk meluluskan pinjaman demi meningkatkan kitaran ekonomi.
“Dari sudut peminjam pula, ada yang masukkan kadar upah lebih masa (OT) dalam slip pendapatan mereka, walhal ia bukan suatu benda yang tetap. Akhirnya sekarang bila banyak syarikat dah potong OT, mereka semua terkesan,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, punca utama masyarakat berhutang adalah apabila keinginan mengatasi kemampuan yang mana menjadi norma biasa kini.
“Disebabkan itu lebih 35,000 belia telah disabitkan dengan status bankrap sehingga Jun 2024. Kedua, tiada pengetahuan atau ilmu mengenai kesan negatif terhadap pengambilan hutang yang tidak terkawal.
“Dulu masyarakat terkena melalui cara penggunaan kad kredit, sekarang melalui aplikasi-aplikasi di pasaran secara dalam talian yang menawarkan ‘beli dahulu, bayar kemudian,” katanya.
Namun, ujarnya, kos sara hidup dilihat tidak memberi kesan ketara kepada belia terutama di bawah usia 30 tahun kerana kebanyakan masih lagi berstatus bujang.
“Trend perkahwinan di bandar adalah pada usia 28 tahun dan ke atas, lebih-lebih lagi ada yang masih di bawah tanggungan ibu bapa terutama dalam soal tempat tinggal.
“Maka kos sara hidup bagi belia kategori ini tidak mencapai angka yang membimbangkan seperti mana yang dihadapi oleh M40 dan B40 yang mempunyai tanggungan,” ujarnya.
Katanya, langkah penting dalam mengatasi atau mengurangkan perkara ini antara lain adalah penyerapan ilmu.
“Pendedahan ilmu pada peringkat awal amat penting bagi memastikan masyarakat terutama orang muda diserapkan dengan pengetahuan dan kepentingan penjagaan aliran tunai.
“Selain itu, kesedaran secara berterusan oleh pihak berkaitan melalui hebahan di semua platform merupakan satu kaedah yang mungkin boleh memberi impak positif kepada belia,” katanya.
Tambahnya, kegagalan melunaskan hutang akan memberi pelbagai kesan negatif terhadap individu sehingga boleh diistihar bankrap jika hutang melebih RM50,000 dan gagal diselesaikan dalam tempoh enam bulan secara berturut-turut.
Kosmo! semalam melaporkan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan 53,000 individu berusia bawah 30 tahun sudah dibebani hutang hampir RM1.9 bilion. -KOSMO! ONLINE














