PERBUATAN menipu sijil cuti sakit merupakan satu kesalahan serius dan pekerja yang didapati bersalah boleh dibuang kerja serta-merta.

Guru penjawat awam paling ramai ambil MC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendedahkan golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terlibat dalam salah laku memalsukan sijil cuti sakit atau medical certificate (MC).

Selain itu, ada juga guru yang dikesan sengaja memohon cuti kecemasan (EL) untuk kepenti­ngan peribadi.

Cuepacs berkata, setiap tahun kira-kira satu hingga dua peratus daripada 10,000 penjawat awam dikenal pasti memberi cuti sakit palsu selain sengaja menggunakan cuti kecemasan semata-mata mahu melanjutkan tempoh bercuti.

“Selalunya selepas cuti panjang akan ada penjawat awam yang bagi cuti sakit palsu terma­suk memohon cuti kecemasan. Kes ini lebih ramai berlaku dalam kalangan guru.

“Mereka ini (guru) tidak ba­nyak cuti tahun seperti mana yang diterima oleh penjawat awam lain, sebaliknya mereka banyak bergantung kepada cuti persekolahan.

“Jadi ada yang tidak bertanggungjawab sehingga beri cuti sakit palsu semata-mata mahu sambung percutian,” katanya ­kepada Kosmo!.

Tambah Cuepacs, kebanyakan penjawat awam yang menipu dengan mengemukakan sijil cuti sakit adalah mereka yang gagal mendapatkan cuti sakit daripada pihak klinik atau hospital.

“Mereka tipu sebab kadang-kadang tidak dapat cuti sakit di klinik atas faktor kesihatan mereka tidak sampai ke tahap mengganggu proses kerja.

“Ada juga dalam kalangan penjawat awam selalu beri alasan penat sebab perlu memandu dalam tempoh lama semasa cuti dan mereka memerlukan tambahan rehat. Sebab itu ada yang memohon MC sedangkan mereka bukannya sakit,” jelasnya.

Menurut Cuepacs, mana-mana penjawat awam yang ditangkap menipu dalam menggunakan kemudahan cuti tersebut berdepan tindakan tatatertib termasuklah dibuang kerja.

“Perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana telah melanggar Akta Pekerja 1955 dan juga Peraturan 4(2)(f) dan (g), Peraturan-Peraturan Pegawai Am (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Sehubungan itu, Cuepacs mahu perbuatan itu dipantau oleh setiap kementerian dan jabatan terlibat bagi mengelak ia bertambah kronik dalam kala­ngan penjawat awam.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, budaya menipu MC sebenarnya memberi impak buruk bukan sahaja terhadap produktiviti organisasi, tetapi juga persepsi majikan terhadap pekerja.

“Isu pekerja yang menyalahgunakan MC atau cuti kecemasan ketika cuti umum bersambung memang sering berlaku.

“Pekerja yang terlibat dalam amalan ini mungkin dianggap tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati etika kerja sehingga boleh menjejaskan hubungan baik dengan majikan serta rakan sekerja lain,” katanya.

Mohd. Effendy berkata, pekerja seharusnya mengutamakan kejujuran dan bertanggungjawab dalam urusan cuti untuk memastikan suasana kerja yang lebih profesional dan harmoni serta tidak menjejaskan prestasi dan produktiviti.

“Secara amnya, ini merupakan satu bentuk amalan tidak ber­disiplin yang perlu dielakkan oleh pekerja kerana walaupun cuti adalah hak pekerja, ia perlu digunakan secara beretika dan bertanggungjawab,” tegasnya.

Bagi majikan pula, beliau berkata, mereka boleh menjelaskan mengenai polisi cuti dengan lebih terperinci dan memastikan pekerja memahami akibat jika menyalahgunakannya.

“Sekiranya terdapat bukti penyalahgunaan cuti sakit atau kecemasan, tindakan disiplin boleh diambil selaras dengan undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN