PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mencabar anak-anak buahnya kembali bangkit pada aksi kedua Kejuaraan Kelab Asean (ACC) menentang Dong A Thanh Hoa FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.
Beliau menegaskan anak-anak buahnya tiada pilihan selain mengutip mata penuh menentang kelab Vietnam itu selepas bermula dengan langkah sumbang apabila tewas aksi pembukaan ACC bulan lalu.
“Kami harus mempamerkan karakter sebenar sekiranya mahu menghidupkan peluang ke separuh akhir selaku dua pasukan terbaik Kumpulan A.
“Saya menjangkakan tentangan sengit kerana Thanh Hoa merupakan pendahulu kumpulan selepas menang 3-1 ke atas wakil Myanmar, Shan United pada aksi pertama sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar perlawanan di Kuala Nerus semalam.
Steinbruckner berkata, Thanh Hoa merupakan pasukan bagus yang dibarisi barisan pemain tempatan dan import berkualiti.
Jurulatih kelahiran Croatia itu menambah skuad kendaliannya juga tidak boleh mengulangi kesilapan seperti dibolosi gol mudah yang berlaku sebelum ini.
Sementara itu, ketua pasukan TFC, Safawi Rasid turut menuntut rakan sepasukannya bangkit dengan menjadikan kelab Vietnam itu sebagai mangsa pertama dalam saingan ACC.
Tonggak Harimau Malaya itu berkata, percaturan Steinbruckner diyakini mampu menjinakkan Thanh Hoa walaupun TFC agak tempang tanpa beberapa tonggak utama.
“Kekalahan pertama sangat mengecewakan, namun barisan kejurulatihan sudah membuat kerja rumah untuk mengkaji kelemahan serta kekuatan pasukan lawan dari Vietnam ini.
“Pemain-pemain sudah bersedia beraksi dan memburu kemenangan pertama dalam kejohanan ini bagi mencerahkan semula peluang merebut slot ke separuh akhir,” ujarnya.