fbpx
Segera laporkan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya menjadi mangsa buli. - GAMBAR HIASAN

Tekanan kerja jadi pembunuh senyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERITA kematian seorang doktor pakar di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini didakwa disebabkan oleh tindakan bunuh diri akibat tidak tahan dibuli adalah sesuatu yang cukup menyedihkan.

Dr. Tay Tien Yaa yang merupakan pegawai perubatan pakar Patologi Kimia di Hospital Lahad Datu itu ditemui meninggal dunia di kediamannya pada 29 Ogos lalu.

Menurut adik mangsa, kakaknya itu telah ditindas pegawai atasan, selain mengalami tekanan sepanjang bertugas.

Susulan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menggesa siasatan terperinci dibuat berhubung dakwaan kematian pegawai perubatan itu akibat perbuatan buli.

“Saya mempunyai toleransi sifar terhadap buli sejak 2018 dan akan kekal berpegang teguh pada dasar ini.

“Semua kakitangan KKM berhak mendapat persekitaran kerja yang selamat dan adil,” katanya menerusi ciapan di aplikasi X.

Buli di tempat kerja merujuk kepada keadaan apabila seseorang pekerja dalam sesebuah organisasi diperlakukan secara buruk dalam keadaan berterusan dan disengajakan.

Tingkah laku ini termasuk penderaan verbal, intimidasi, penghinaan, pengasingan sosial dan sabotaj. Jika berlarutan, ia boleh menyebabkan timbulnya tekanan yang melampau dan boleh menyebabkan seseorang itu mengambil tindakan di luar kawalan seperti bunuh diri.

Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Dr. Rojanah Kahar berkata, masalah psikososial di tempat kerja boleh menyebabkan gangguan kepada kesihatan fizikal dan mental pekerja.

“Kerja merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang memerlukan komitmen.

“Namun, tidak semua individu perlu menjadi ‘hamba kerja’ kerana jika masa dan tumpuan kepada aktiviti lain menjadi terhad, ia memberi kesan kepada diri.

“Selain itu, faktor persekitaran di tempat kerja juga mempengaruhi kesejahteraan diri seseorang. Tuntutan tugas seawal pagi hingga tengah malam, pengabaian masa bersama keluarga dan rakan-rakan boleh mengundang pelbagai perkara tidak sepatutnya,” katanya.

Rojanah turut menyarankan pekerja untuk mengambil beberapa pendekatan bagi menangani masalah buli di tempat kerja.

“Sokongan sosial memainkan peranan cukup penting dalam menangani masalah ini, seperti bercakap tentang masalah yang dihadapi bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Pekerja juga perlu menetapkan batasan kepada tugas mereka, dengan mengurus masa dan tenaga dengan baik.

“Sebagai contoh, melaksanakan penjadualan secara berkesan selain memanfaatkan teknologi sepenuhnya,” katanya.

Justeru, mana-mana pekerja berdepan dengan keadaan yang mana mereka dibuli, beritahu perkara tersebut kepada pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Sumber Manusia.

Buli bukan perkara kecil dan jika ia memberi ancaman buruk, terus lakukan sesuatu supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN