fbpx
Gambar hiasan

Betul-betul lepas geram!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Satu Malaysia jalan ‘sesak’. Penangan cuti sekolah selama seminggu bermula Jumaat lalu disifatkan luar biasa.

Jalan-jalan utama dan lebuh raya menuju ke Selatan, Utara dan Pantai Timur semuanya ‘jem’, sehingga ada pengguna yang menempuh perjalanan 18 jam untuk ke lokasi dituju.

“Seremban ke Kota Bharu, 12 jam.

“Dari Bangi ke Kuantan, sembilan jam. Luar biasa jem kali ini, kalah raya!”

Itu antara perkongsian orang ramai ketika pulang ke kampung halaman mahupun bercuti sempena cuti berganda, Hari Malaysia, Maulidur Rasul dan persekolahan.

Berdasarkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), bilangan trafik di Lebuh Raya Utara Selatan mencatatkan peningkatan sebanyak 2.2 juta kenderaan berbanding purata pada musim perayaan sebanyak 2.05 juta dalam tempoh 24 jam.

Di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur bilangan kenderaan direkodkan 349,000 berbanding purata musim perayaan 342,000.

Ibarat lepas geram. Jika Cameron Highlands dan Melaka pun orang serbu apatah lagi Pulau Langkawi sehingga pihak pengendali terpaksa menambah perkhidmatan feri. Ada yang lima minit sekali, mujur katanya cuaca baik.

Kesesakan itu termasuk di Pulau Pinang, ada yang ‘berkampung’ diluar kenderaan apabila kereta tidak bergerak. Orang tempatan pula mengambil masa lebih dua jam untuk ke lokasi yang biasanya hanya satu jam perjalanan.

Jiwa kental orang tempatan bercuti juga dapat dilihat apabila mereka tetap teguh beratur di pintu-pintu sempadan Malaysia-Thailand.

Lebih dua kilometer beratur juga tidak mengapa. Semangat bercuti yang telah dirancang berbulan-bulan itu tidak luntur biarpun penat mengharungi lautan manusia.

Malah, rekod imigresen menyaksikan dalam tempoh tiga hari hampir 60,000 rakyat Malaysia ke Thailand sejak Khamis melalui ICQS Bukit Kayu Hitam.

Penuh rakyat Malaysia di sana. Malah, terdapat tour guide yang memaklumkan situasi ini dalam sejarah buat mereka.

Bilangan tersebut dijangka terus meningkat kerana ramai yang menggunakan peluang cuti sekolah untuk pergi ke destinasi popular di negara jiran seperti Hatyai.

Malah, ada rakyat kita terpaksa tempah hotel dengan sehelai sepinggang gara-gara pintu sempadan sibuk. Pergi mahu makan tomyam akhirnya terpaksa bermalam.

Rakyat Malaysia betul-betul lepas geram bercuti, tambah pula tempoh kali ini panjang. Kali terakhir cuti persekolahan lama ialah pada Mei lalu, selama seminggu.

Namun, ketika itu percaturan betul perlu dibuat disebabkan Hari Raya Aidilfitri dan baru sahaja lepas menyediakan kelengkapan persekolahan.

Tidak mengapalah, percutian mereka memberi rezeki buat yang lain, kawasan rehat dan rawat penuh, mak cik pak cik peniaga kecil mendapat rezeki seterusnya ramai pengusaha inap desa mahupun pelancongan menarik nafas lega.

Paling bahagia orang bercuti di Lembah Klang, jalan raya sunyi dan ‘bebas’ ke mana-mana. Ini juga rezeki.

Bagaimanapun, bersedia warga kota ‘berperang’ untuk pulang hujung minggu ini, Jumaat, Sabtu dan Ahad waktu genting. Jangan ditambah statistik kemalangan sudah la.

Hati-hati dalam pemanduan, ingatlah wajah-wajah insan disayangi. Orang provoke di jalan raya, usah dilayan, takut ke lokap pula nanti. Sabar itu lebih indah, sudah puas bercuti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN