fbpx
ANN yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar pada April lalu telah menceritakan kepada Kosmo! kronologi terperinci harian yang dilaluinya sepanjang menjadi mangsa pemerdagangan manusia selama 26 hari sebelum terselamat.

‘Diari derita’ 26 hari jadi mangsa pemerdagangan manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASIH terngiang-ngiang di telinga Ann jeritan seorang lelaki yang disiram dengan air sebelum direnjat menggunakan alat renjatan elektrik.

Lelaki warga China itu dihukum atas kesalahan tidak memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) bulanan sebagai seorang scammer.

Hukuman tersebut turut berfungsi sebagai amaran kepada Ann dan mangsa pemerdagangan manusia lain yang baru sahaja memulakan tugas.

Biarpun kini telah lima bulan kembali ke pangkuan keluarga tercinta, pemuda berusia 25 tahun itu tetap mengalami Gangguan Tekanan Selepas Trauma (PTSD). Manakan tidak, dia ditipu orang dikenali yang juga merupakan pelanggan tetap ketika bekerja secara sambilan di sebuah bar di Taiwan.

Perkenalan mereka selama tiga bulan di Taiwan diteruskan menerusi Facebook setelah anak bongsu kepada dua beradik itu tamat belajar.

Namun, setelah setahun bekerja sebagai guru di sekolah swasta di Johor, dirinya mengalami depresi dan dinasihatkan untuk berehat untuk sementara waktu.

Pada ketika itu, lelaki Taiwan tersebut tampil memberi nasihat dan menawarkan diri membantu Ann untuk mendapatkan pekerjaan baharu di Thailand. Tanpa berfikir panjang, Ann terbang ke Thailand dengan tujuan bercuti sambil meneroka peluang pekerjaan di negara Gajah Putih itu.

Bermula detik itu, pemuda berasal dari Johor berkenaan mengalami mimpi ngeri selama 26 hari selepas bergelar mangsa pemerdagangan manusia.

Ini rangkuman perkongsian kisahnya mengikut kronologi hari:

2 April 2024
Ann bertolak ke Thailand dengan niat untuk bercuti sambil meneroka peluang pekerjaan bersama kenalan warga Taiwan. Oleh kerana percutian hanya memakan masa empat hari, Ann pergi seorang diri ke Thailand buat kali pertama.

Menurut Ann, kenalannya itu menelefonnya untuk memberitahu bahawa dia tidak dapat datang jemput di lapangan terbang, namun telah menyediakan teksi untuknya.

“Saya mempercayai kenalan itu kerana dia lebih banyak ‘makan garam’ dan tua daripada saya tentang selok-belok pekerjaan.

“Saya sempat mesej kakak saya untuk memberitahu sudah sampai di Thailand. Selepas itu, saya minum air mineral yang diberikan kepada saya,” katanya.

Walaupun air mineral tersebut belum dibuka penutup, namun ia seakan-akan telah disuntik ubat yang membuatkan Ann rasa mengantuk. Sebaik Ann sedar daripada tidur, dia dapati hari sudah malam dan berada di dalam sebuah hotel yang tidak diketahui lokasinya.

Kakaknya, Michelle (bukan nama sebenar) berkata, lokasi yang dilihat menerusi aplikasi menunjukkan adiknya berada di Mae Sot iaitu wilayah Thailand yang bersempadan dengan Myanmar.

“Apabila Ann beritahu saya dia tidak pasti dibawa ke mana. Saya segera memeriksa aplikasi telefon untuk melihat lokasi terkini adik saya.

“Rupanya, dia telah melalui perjalanan selama tujuh jam dan tiba di Mae Sot. Pada ketika itu, saya sudah rasa sesuatu yang tidak kena,” jelasnya.

Kepala Ann kemudiannya ditutup dengan plastik dan dibawa keluar dari hotel oleh tiga orang lelaki bersenjata.

Biarpun tidak nampak dengan jelas keadaan di sekelilingnya, namun Ann dapat merasai bahawa dia telah dibawa menaiki kereta untuk seketika sebelum dipindahkan ke atas bot dengan perjalanan lebih kurang 5 minit.

Setelah di darat, Ann sekali lagi menaiki kereta selama 10 hingga 15 minit, sebelum tiba di sebuah bilik kecil.

Ujar Ann, selepas plastik menutup kepalanya dibuka, dia melihat ramai lelaki beruniform askar Myanmar dan bersenjata berlegar-legar di kawasan bilik tersebut.

“Ketika itu, saya baru sedar sudah berada di Myanmar. Saya lihat jam di dinding menunjukkan pukul 11 malam.

“Selepas itu, semua barangan termasuk telefon bimbit dirampas dan disimpan oleh kumpulan lelaki bersenjata berkenaan,” katanya.

3 April 2024
Pada sebelah petang, Ann didatangi sekumpulan lelaki warga China yang menerangkan situasi sebenar serta mengemukakan dua pilihan.

Kata Ann, dia terkejut apabila diberitahu bahawa dirinya telah dijual ke Myanmar dan diberi pilihan untuk bekerja atau organnya akan dijual.

“Saya terkejut mendengar perkara tersebut dan memilih untuk bekerja. Bersama saya ada dua lagi mangsa yang juga warga Malaysia.

“Seorang pemuda berusia 18 tahun dan wanita berusia 31 tahun. Kedua-dua mereka berbangsa Cina dan tertipu dengan sindiket pekerjaan,” katanya.

Selepas bersetuju untuk bekerja, mereka dibawa menaiki kereta golf (buggy) untuk ke satu pintu gerbang.

Mereka diletakkan ke dalam hostel yang berada dalam keadaan daif dan berkongsi dengan ramai lagi mangsa di dalamnya. Berkenaan pekerjaan, mangsa-mangsa dibahagikan kepada jabatan-jabatan berbeza dalam perniagaan scam (penipuan).

Ujarnya lagi, dia ditugaskan untuk melakukan ‘love scam’ menerusi aplikasi Tinder, Bumble dan Facebook kerana mahir berbahasa Inggeris.

“Sasaran mangsa jabatan saya adalah warga Amerika Syarikat yang kaya dan naif dalam percintaan.

“Bagaimanapun, pekerja baharu seperti kami diberi masa dua hari untuk bersiap sedia sebelum memulakan kerja selama 15 jam sehari,” ujarnya.

Jadi, selama dua hari dia berehat atau diberi waktu untuk membuat persediaan sebelum memulakan tugas pada 6 April.

Hub scammer yang dikawal ketat oleh tentera Myanmar. – CNN

6 April 2024 – 26 April 2024
Rutin Ann bermula pada pukul 10 malam hingga 5.50 pagi dan berehat selama satu jam sebelum sambung kerja sehingga pukul 2 petang.

Makanan asas seperti nasi dan lauk yang sangat ringkas disediakan secara percuma. Namun, sekiranya mahu lebih, mereka perlu membeli makanan tersebut.

Tipu helahnya di sini, pekerja perlu meminjam wang untuk membeli makanan. Wang itu akan dipotong daripada komisen kerja mereka.

Kongsi Ann, mereka terpaksa membuka lebih 10 akaun media sosial dengan identiti berbeza.

“Kalau kami datang lambat atau tertidur sewaktu kerja, kami perlu berdiri di luar pejabat sebelum dikenakan renjatan elektrik.

“Nasib kami pada setiap hari bergantung kepada mood semasa penyelia yang merupakan seorang warga China,” katanya.

Pekerja-pekerja perlu mencapai KPI bulanan iaitu sekurang-kurangnya seorang mangsa sehari dengan jumlah wang penipuan sekurang-kurangnya AS$3,000(RM13,012). Untuk pekerja baharu, mereka akan diberi amaran terlebih dahulu iaitu disimbah air dan direnjat dengan alat renjatan elektrik.

Apabila prestasi tetap buruk secara berterusan, pekerja tersebut akan dibawa ke bilik gelap untuk dibelasah.

Sekiranya pekerja berkenaan masih tidak mencapai sasaran (target), mereka akan dijual kepada sindiket penjualan organ.

Mengimbau kembali memori pahit itu, Ann pernah melihat seorang wanita warga China dilondeh pakaiannya sebelum dibawa ke bilik gelap.

Selepas beberapa jam, wanita itu dibawa keluar dengan perutnya kelihatan bengkak dan wajahnya berubah. Ann diberitahu bahawa wanita itu telah dijual kepada sindiket penjualan organ.

“Disebabkan gagal mencapai KPI, seorang wanita dibawa masuk ke dalam bilik gelap dengan hanya memakai seluar dalam.

“Apabila keluar, badannya sudah tidak mampu hendak makan dan tidak boleh buang air besar dan kecil. Selepas itu, kami sudah tidak nampak lagi kelibatnya,” katanya.

Anehnya, mangsa pemerdagangan manusia yang memiliki rupa yang cantik akan dijadikan ‘model’ sekiranya mangsa scam mahu buat panggilan video. ‘Model-model’ akan diberi layanan lebih bagus berbanding yang lain kerana mereka perlu berketerampilan dalam usaha menawan hati mangsa.

27 April 2024
Pada malam tersebut, Ann pura-pura mengalami asma teruk sehingga terkena sawan, sebelum dihantar ke hospital.

28 April 2024
Apabila melihat Ann lemah di bilik Unit Rawatan Rapi (ICU), tiga orang yang ditugaskan menjaganya kelihatan lebih ‘santai’. Pada ketika itu, Ann mengambil kesempatan untuk meloloskan diri ke restoran berdekatan dan meminta bantuan daripada pemilik kedai.

Dia diberikan telefon dan ditukarkan kepada baju tentera sebelum disorokkan ke dalam sebuah bilik rahsia.

Ia bagi mengelak daripada dikesan tentera yang sedang melakukan pencarian.

Pada ketika itu, Ann menelefon keluarganya untuk memaklumkan keadaan terkini. Setelah keadaan reda, pemilik kedai memintanya menukar balik pakaian, sebelum menghantarnya di depan tembok setinggi dua meter.

Kata Ann, di sebalik tembok tersebut terdapat sebuah perkampungan dan dia meminta bantuan daripada salah seorang penduduk di situ.

“Penduduk kampung membenarkan saya menghubungi kakak, sebelum menghubungkan saya dengan pihak Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

“Saya kemudiannya di hantar ke sebuah kuil dan pihak MHO menjemput saya.

“Seterusnya, saya ke sempadan Thailand-Myanmar sebelum menaiki kapal terbang ke Bangkok untuk pulang ke Malaysia,” katanya.

29 April 2024
Ann selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan bertemu keluarganya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN